malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda Umno: Buat Akta GEG sebelum keluarkan cecair nikotin dari Akta Racun
Diterbitkan:  Apr 2, 2023 5:11 PM
Dikemaskini: 11:11 AM
ADS

Pemuda Umno menggesa kerajaan menarik balik keputusan mengeluarkan cecair nikotin daripada Akta Racun 1952 sehingga rang undang-undang baru untuk mengawal selia produk berkaitan diwujudkan.

Ketuanya, Dr Muhammad Akmal mencadangkan agar keputusan itu ditarik semula sehingga Parlimen meluluskan Rang Undang- Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang akan mewujudkan Generasi Penamat Rokok.

“Rasional terhadap cadangan ini adalah Akta GEG perlu dilaksanakan terlebih dahulu barulah kerajaan wajar mengeluarkan cecair vape yang bernikotin ini dari Akta Racun agar cukai yang tinggi boleh dikenakan ke atas pengguna tidak tergolong di dalam generasi penamat untuk mengurangkan kadar penggunaan vape di kalangan masyarakat.

“Pergerakan Pemuda Umno Malaysia berpendirian tegas agar cadangan yang dikemukakan ini dapat dipertimbangkan secara serius oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Akmal menambah bahawa dia akan menyerahkan surat bantahan kepada perdana menteri dan menteri kesihatan.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan akan memperkenalkan rang undang-undang baru untuk mengawal selia produk dan peranti rokok pada sesi parlimen akan datang

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata rang undang-undang itu akan merangkumi peruntukan yang memastikan kawalan menyeluruh ke atas nikotin dalam cecair dan gel yang digunakan dalam e-rokok dan vape.

Zaliha membuat pengumuman ini berikutan kritikan mengenai pengecualian nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Menteri itu berkata bahawa sesi libat urus telah diadakan dengan pihak berkepentingan berkaitan mengenai rang undang-undang baru ini, yang akan merangkumi dasar seperti Generasi Penamat Rokok.

Sementara itu, Muhammad Akmal berkata langkah kerajaan mengeluarkan cecair vape yang mengandungi nikotin daripada senarai Akta Racun 1952 bukanlah tindakan bijak kerana ia boleh memberi implikasi kepada kesihatan rakyat.

"Penarikan cecair yang mempunyai nikotin dari akta racun ini seolah lesen besar membenarkan rakyat Malaysia tanpa mengira umur untuk mengambil nikotin tanpa sebarang bentuk garis panduan.

"Kebimbangan Pemuda Umno sekiranya tiada garis panduan yang jelas, ia memberikan kesan yang besar khususnya kepada golongan muda untuk terdedah kepada pengambilan nikotin tanpa kawalan," katanya.

GEG dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 27 Julai tahun lalu, tetapi kemudiannya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi.

GEG bertujuan mewujudkan generasi bebas rokok dan vape membabitkan mereka yang lahir pada 2007 dan selepasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen