PARLIMEN l Semua sekolah telah diarahkan untuk memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam sukatan pelajaran mereka, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Ini selaras dengan pekeliling kementerian Pendidikan 1998 untuk memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam kurikulum sekolah, katanya.
Antara langkah yang diambil kementerian ialah memperkukuhkan penerapan nilai-nilai murni merentas kurikulum melalui pengajaran dan pembelajaran setiap mata pelajaran serta memperkemas dan memperkukuhkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
Fadhlina menambah, sekolah juga telah diarahkan supaya memasukkan tajuk-tajuk khusus mengenai keburukan rasuah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat menengah atas.
“Bagi mata pelajaran Pendidikan Moral dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), nilai kejujuran diterapkan melalui tajuk Rakyat Jujur Negara Makmur di Tahun 6.
“Manakala elemen pencegahan rasuah bertajuk Rasuah Musuh Negara dimasukkan dalam kurikulum Tingkatan 1 dan Tingkatan 2,” katanya dalam maklum balas bertulis parlimen, semalam.
Menurutnya, kementerian juga telah memasukkan elemen anti rasuah dalam Modul Exemplar Pendidikan Sivik di peringkat rendah dan menengah berdasarkan empat nilai teras iaitu Kasih Sayang, Hormat-menghormati, Bertanggungjawab dan Kegembiraan.
“Kementerian Pendidikan percaya pendedahan awal berkaitan pendidikan pencegahan rasuah dalam kurikulum persekolahan berupaya mendidik semua murid untuk mempunyai sikap membenci amalan rasuah,” katanya.
Fadhlina (PH-Nibong Tebal) berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang bertanyakan tentang jika kerajaan bercadang untuk memperkenalkan pendidikan anti rasuah di sekolah rendah dan menengah dengan memasukkan ajaran anti rasuah ke dalam kurikulum.

