malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kadar inflasi 2023 boleh capai unjuran 3.1 peratus - Rafizi
ADS

Kadar inflasi negara boleh mencapai unjuran 3.1 ke 3.3 peratus tahun ini jika kadar inflasi bulanan sedia ada kekal mereda, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Dalam sidang media Penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) Februari 2023 di Putrajaya hari ini, beliau berkata kadar inflasi negara juga secara keseluruhannya telah mencapai tahap yang lebih stabil sejak Disember 2022.

“Setakat enam bulan ini daripada tahap tertinggi masa bulan September 2022 (4.5 peratus) dan berdasarkan angka-angka lain yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia(DOSM), tanda-tanda menunjukkan bahawa kita sedang melepasi kemuncak kenaikan harga barang.

“Kita berharap dari sebulan ke sebulan, ianya turun pada kadar 0.1 peratus tiap dua bulan dan pola menurun ini berterusan dalam bulan-bulan akan datang daripada 3.8 peratus (Disember 2022) turun kepada 3.7 peratus (Januari dan Februari 2023).

“Jika aliran ini berterusan sehingga akhir tahun ini, kita berpeluang untuk membawa inflasi ke paras sekitar 3.1-3.3 peratus," katanya.

Rafizi bagaimanapun menegaskan bahawa kadar inflasi turut bergantung kepada perkara di luar kawalan seperti gangguan bekalan bahan mentah yang disebabkan oleh faktor geopolitikal antarabangsa atau gangguan setempat seperti banjir.

"Kalau kita lihat kepada pola ini dengan beberapa data menunjukkan tanda-tanda kos pengeluaran makin berkurangan, maksudnya kita berada dalam unjuran baik ke arah itu...namun sudah tentu ia banyak dipengaruhi perkara lain.

"Sebagai contoh, faktor cuaca yang menyebabkan gangguan kepada bekalan bahan mentah dan boleh menimbulkan masalah.

“Saya berpendapat perkara lain (gangguan bekalan) sudah pun dalam perancangan kerajaan melalui inisiaitif jangka sederhana yang memberi fokus kepada menambah kapasiti bekalan bahan mentah kepada pengguna," katanya.

Mengulas kadar inflasi pada Februari 2023, Rafizi berkata penyumbang utamanya adalah kategori makanan dan minuman bukan alkohol (7.0 peratus) yang mana kejadian banjir meningkatkan harga sayur-sayuran.

Penyumbang lain adalah kategori restoran dan hotel (7.4 peratus) berikutan pertambahan bilangan pelawat domestik serta antarabangsa, katanya.

Selain itu, pada sidang media berkenaan, Rafizi turut mengumumkan mengenai aplikasi KitaJaga iaitu kemudahan bagi penyemakan harga, termasuk mampu mempamerkan harga harian untuk setiap barang mengikut lokaliti tertentu.

Inisiatif berkenaan adalah hasil kolaborasi antara Kementerian Ekonomi dan organisasi tempatan, KitaJaga yang membangunkan aplikasi tersebut serta ciri-ciri kegunaannya.

"Organisasi KitaJaga telah memanfaatkan data terbuka di laman web OpenDOSM yang dilancarkan beberapa bulan dahulu dan pembangun web dan kod digalakkan untuk terus menggunakan data OpenDOSM dalam produk yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata aplikasi KitaJaga itu juga membolehkan rakyat membuat pembelian secara bijak susulan kemudahan maklumat data harga barangan di hujung jari.

"Kementerian Ekonomi akan memulakannya dengan data harga barang runcit kerana kebanyakan kenaikan harga tertumpu dalam kategori ini dan seterusnya diperluaskan kepada kategori-kategori lain untuk kegunaan rakyat,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen