malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Acara ‘Thai Hot Guy’ batal
Diterbitkan:  Mar 22, 2023 5:02 PM
Dikemaskini: 10:33 AM
ADS

Acara pembukaan sebuah kelab malam yang menampilkan ‘Thai Hot Guy’ dibatalkan susulan amaran keras pihak polis dan bantahan pelbagai pihak.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata mereka telah memberikan amaran keras kepada penganjur dalam pertemuan pada awal petang ini.

“Amaran keras telah diberikan oleh pihak polis kepada pihak penganjur agar program tersebut tidak diteruskan dan dibatalkan. 

“Pihak penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program tersebut dan tiada sebarang program atau aktiviti yang tular sebelum ini akan diadakan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis tersebut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang.

Sementara itu, Ashari mendedahkan setakat pukul empat petang hari ini, polis menerima 60 laporan yang membantah penganjuran program berkenaan.

“Pihak polis peka mengenai penganjuran program-program yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya.

Pihak polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang sehingga menggugat ketenteraman awam.

Pada Ahad lalu, sebuah kelab menyiarkan poster pelancarannya dalam media sosial menampilkan persembahan oleh pelayan lelaki berbadan sasa berpakaian wanita dikenali sebagai Thai Hot Guy sekali gus mengundang reaksi negatif orang ramai.

Acara itu dikatakan akan diadakan pada 30 Mac di Privacy Club Tun Razak, Kuala Lumpur. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen