malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KPM sedang tangani isu kekurangan guru untuk 4 subjek
ADS

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menangani isu kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI) dan Pendidikan Islam, kata ketua pengarahnya Pkharuddin Ghazali.

Pkharuddin berkata pihaknya ketika ini sudah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk membuat pengambilan berkenaan.

"KPM juga sudah mencadangkan beberapa kaedah serta mengadakan perbincangan bagi memperhalusi satu per satu kaedah yang dicadangkan.

"Dalam masa terdekat juga, kita akan membuat proses pengambilan dan tawaran bagi guru-guru yang berjaya secara berfasa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan minggu pertama pembukaan sekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata pihaknya juga akan bersama dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) serta universiti awam untuk meningkatkan pengambilan pelajar dalam bidang berkenaan.

"Insya-Allah kekurangan guru yang sedang dihadapi akan kita tangani peringkat demi peringkat dan sudah tentu ia tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat, sebaliknya memerlukan masa dua atau tiga tahun," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen