malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wee: Kenapa alamat Deepak sama dengan pengarah syarikat import telur?
Diterbitkan:  Mar 19, 2023 4:55 PM
Dikemaskini: 8:55 AM
ADS

Pertikaian 'isu telur' masih belum habis lagi antara Presiden MCA Wee Ka Siong, syarikat pengimport telur J&E Advance Tech Sdn Bhd dan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan.

Awal petang tadi, Wee, yang juga ahli parlimen Ayer Hitam, menyiarkan kenyataan di Facebook bertanya jika Deepak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan dengan salah seorang pengarah J&E.

Ini selepas Naib Presiden Muda Shahrizal Denci berkongsi tangkap layar dokumen pendaftaran syarikat untuk J&E dan CIP Group Sdn Bhd, yang menunjukkan Deepak berkongsi alamat rumah yang sama dengan seorang bernama 'Jeena Giri'.

Deepak ialah pengarah urusan Kumpulan CIP, menurut maklumat LinkedInnya, yang mengatakan syarikat itu terlibat dalam perniagaan farmaseutikal dan hartanah; manakala Jeena Giri disenaraikan sebagai pengarah syarikat untuk J&E.

"Terima kasih @DenciShahrizal kerana berkongsi maklumat mengenai alamat yang dikongsi oleh salah seorang pengarah J&E Advanced Tech Sdn Bhd Jeena Giri dengan Deepak Jaikishan.

"Adakah ini hanya satu kebetulan? Apakah hubungan antara Deepak Jaikishan dan Jeena Giri?,"

"Terima kasih @DenciShahrizal yang berkongsi maklumat mengenai persamaan alamat antara seorang Pengarah J&E Advanced Tech Sdn Bhd bernama Jeena Giri dan Deepak Jaikishan.

"Adakah ini satu kebetulan ? Apakah hubungan sebenar Deepak Jaikishan dengan Jeena Giri? Atau alamat Deepak Jaikishan disalahgunakan oleh Jeena Giri," soal Wee di Facebook.

Hantaran Wee itu dibuat empat hari selepas Deepak menafikan sebarang hubungan dengan J&E - satu-satunya syarikat yang dibenarkan Putrajaya mengimport telur dari India semasa krisis kekurangan bekalan telur tempatan.

Wee turut berkongsi tangkap layar, yang menunjukkan alamat rumah yang terletak di kawasan kejiranan mewah di Kuala Lumpur.

Presiden MCA juga menyindir Deepak, mencadangkan saudagar permaidani itu membuat laporan polis sekiranya alamatnya disalahgunakan oleh 'Jeena Giri' yang disebut dalam dokumen Suruhanjaya Syarikat bagi J&E.

Malaysiakini telah menghubungi Deepak untuk maklum balasnya terhadap kenyataan terbaru Wee.

Ia bermula pada Februari selepas bekas menteri pengangkutan itu membangkitkan isu berkenaan di parlimen mengenai kekurangan telur di negara ini.

Wee memberitahu Dewan Rakyat pada 22 Feb bahawa kerajaan harus menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengeluar telur tempatan dan bukannya mengimport telur dari India - yang didakwanya lebih mahal dan bersaiz lebih kecil.

Pada 15 Mac, Wee menuduh Deepak memetik nama Pejabat Perdana Menteri (PMO) semasa membuat panggilan telefon kepadanya.

Pada hari yang sama, Deepak pula menafikan dakwaan Wee, termasuk mempunyai sebarang kaitan dengan J&E.

PMO juga telah mengeluarkan amaran keras bahawa tindakan akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama pejabat itu untuk agenda peribadi mereka.

Lihat Komen