malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Loke ingatkan DAP jangan sampai jadi macam Gerakan
ADS

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengingatkan pemimpin dan ahli DAP di semua peringkat supaya tidak mencontohi parti yang hilang keupayaan untuk memenangi pilihan raya.

Meskipun tidak menyebut mana-mana parti, Loke dipercayai merujuk kepada Gerakan apabila mengatakan parti berkenaan "pernah menjadi kerajaan negeri Pulau Pinang".

"Jangan jadi seperti satu parti yang pernah jadi kerajaan negeri di Penang. Lihat mereka hari ini. Tak ada keupayaan menang lagi pilihan raya.

"Nak jadi perwakilan di parlimen, bergantung kepada ihsan orang lain. Itu parti tak ada maruah lagi. Lebih baik dibubarkan kalau sampai macam itu,” katanya dalam ucapan pada konvensyen tahunan DAP Pulau Pinang hari ini.

Loke berkata dia tidak berniat untuk memandang rendah kepada Gerakan, namun mengatakan nasib yang menimpa parti itu harus dijadikan teladan kepada DAP.

Justeru, Loke menggesa ahli DAP memperkasakan parti agar kekal menjadi pilihan kepada pengundi.

"Sebagai sebuah parti politik mesti ada keupayaan menang pilihan raya. Satu parti politik kalau tak menang, dah tak jadi relevan lagi.

"Kita mesti ada keupayaan menang pilihan raya. Sebab kemenangan pilihan raya ialah mandat dan kekuatan kepada kita buat mencapai matlamat kita demi negeri dan negara," katanya.

Menurutnya lagi, meskipun DAP kini menjadi kerajaan Pulau Pinang, pemimpin dan ahli parti itu tidak boleh terpesong daripada landasan perjuangannya.

"Jangan lupa tanggungjawab, mandat dan amanat kepada rakyat, supaya kita tak dipinggirkan pengundi satu hari nanti," katanya.

Gerakan menguasai Pulau Pinang selama 39 tahun sejak 1969 dan menyertai BN sebagai parti komponennya selepas 1974.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum (PRU) 2008, parti itu mengalami kekalahan paling teruk dalam pilihan raya, apabila kehilangan negeri utara itu kepada DAP – parti komponen gabungan Pakatan Rakyat ketika itu.

Selepas tewas di semua kerusi yang ditandinginya di seluruh negara pada PRU 2018 dan kejatuhan kerajaan BN buat pertama kali dalam sejarah, Gerakan menarik diri daripada gabungan berkenaan.

Parti itu kemudian menyertai Perikatan Nasional (PN) pada 2021 dan bertanding di bawah logo gabungan itu pada PRU tahun lepas.

Bagaimanapun, Gerakan mengalami satu lagi kekalahan teruk.

Dalam perkembangan lain, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, kerajaan tidak akan sesekali meminggirkan mana-mana negeri termasuk negeri yang dikuasai PAS Kelantan dan Terengganu.

Katanya, projek pembangunan di kedua-dua negeri itu masih diteruskan, termasuk projek lapangan terbang Kota Bharu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen