malaysiakini logo
story-image
ADS

Barisan pemimpin yang dilihat sebagai penyokong Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menguasai pemilihan parti itu kali ini.

Daripada jawatan naib presiden Umno, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan sayap parti - Pemuda, Wanita dan Puteri - boleh dikatakan hampir keseluruhannya dikuasai mereka yang pro kepada timbalan perdana menteri itu.

Dua daripada tiga jawatan naib presiden diisi Wan Rosdy Wan Ismail dan Mohamed Khaled Nordin yang memang merupakan penyokong Ahmad Zahid.

Begitu juga untuk jawatan ahli MKT yang boleh dikatakan hampir semuanya dimenangi calon yang setia terhadap kepimpinannya, berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 10.30 pagi ini.

Hanya beberapa calon yang dilihat tidak sehaluan dengan Zahid berjaya menempatkan diri dalam majlis tersebut, antaranya Md Alwi Che Ahmad dan Jalaluddin Alias.

Malah "panglima perang" Ahmad Zahid menang dengan jumlah undi yang tinggi, antaranya Shamsul Anuar Nasarah, Zambry Abdul Kadir, Ahmad Maslan, Bung Moktar Radin, Azeez Abdul Rahim, Ahmad Jazlan Yaakub, Mohd Puad Zarkashi, Razlan Rafii dan Zahida Zarikh Khan.

Keadaan sama dilihat dalam keputusan pemilihan sayap Umno yang sudah pun selesai.

Jawatan ketua Pemuda Umno dan ketua Puteri Umno dimenangi oleh Muhamad Akmal Saleh serta Nurul Amal Fauzi yang merupakan calon kem Ahmad Zahid.

Di peringkat bahagian pula, perkara ini jelas dilihat di Pasir Salak di mana penyokong Zahid, iaitu Khairul Azwan Harun menang jawatan ketua bahagian dengan menewaskan pencabarnya Faizal Tajuddin.

Faizal merupakan anak kepada Tajuddin Abdul Rahman yang memimpin bahagian itu selama 18 tahun.

Begitu juga Rozabil Abd Rahman yang merupakan calon kem presiden dan menang tanpa bertanding di Arau, bahagian yang dipegang Shahidan Kassim selama 30 tahun.

Rozabil merupakan calon yang dipilih kepimpinan Umno di kerusi Parlimen Arau pada PRU15 bagi menggantikan Shahidan yang digugurkan.

Lihat Komen