malaysiakini logo
story-image
ADS

PKR bakal berdepan cabaran yang lebih kritikal dalam menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Ketua Pemuda PKR (AMK), Adam Adli Abdul Halim.

Adam dalam ucapan penggulungan pada kongres khas PKR hari ini berkata, ini kerana pengundi tidak hanya akan menilai calon semata-mata tetapi juga prestasi kerajaan persekutuan.

"Kita sekarang berhadapan dengan PRN di enam buah negeri yang sebenarnya kritikal.

"Hari ini kita bukan lagi pembangkang. Hari ini kita adalah kerajaan, penilaian yang dibuat ke atas kita bukan semata-mata ke atas siapa yang kita tampilkan, tapi yang paling penting adalah soal membuktikan kita sebagai sebuah kerajaan yang mampu menjaga kepentingan rakyat dan negara," katanya di hadapan lebih 1,300 perwakilan parti.

Adam yang juga timbalan menteri belia dan sukan berkata PKR tidak boleh meletakkan beban ke atas Anwar Ibrahim selaku perdana menteri semata-mata.

"Pimpinan negara bukan Anwar sahaja, ia adalah tanggungjawab semua kita.

"Kita harus akui PRN yang akan datang, kita masih perlu membaiki banyak perkara dan perlu memberi perhatian kepada keluh kesah yang banyak disuarakan oleh akar umbi.

"Kita tidak lagi boleh bekerja secara bersendirian. Kita perlu bekerja secara kumpulan melibatkan semua orang," katanya.

Pada PRU 15, enam negeri mengambil keputusan untuk tidak membubarkan DUN.

Enam negeri itu ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

PRN di enam negeri berkenaan dijangka diadakan selewat-lewtanya Jun ini.

PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah dijangka akan bekerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN berkenaan.

Lihat Komen