malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kamu cuba rampas kuasa, silakan tapi kami siap dengan 'keris' - Anwar
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada seteru politik bahawa dia bersedia berdepan cabaran oleh pihak yang cuba menumbangkan kerajaan persekutuan.

Dalam ucapan dasar di Kongres Khas PKR di Shah Alam hari ini, Anwar berkata, dia selaku presiden parti itu tidak akan berdiam diri dengan ancaman pembangkang untuk menumbangkan kerajaan perpaduan yang diterajuinya.

"Ini gelanggang saya, sebagai presiden PKR, empat bulan saya bersabar. Saya bicara cara teratur sebagai perdana menteri.

"Hari ini saya bicara sebagai presiden PKR, sebuah gerakan reformasi. Mahu ugut kita dengan perhimpunan, ugut bahawa kita takut bertindak kepada orang rasuah.

"Saya tak makan ugutan itu. Ada kuasa kita laksanakan.

"Kamu cuba rampas (kerajaan) silakan.... Tetapi, kami (ahli PKR) siap dengan keris, membujur lalu, melintang patah," katanya.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pemimpin pembangkang, Anwar dipercayai merujuk kepada gabungan parti Perikatan Nasional (PN) yang menjadi kerajaan sebelum ini.

"Ramai bekas pemimpin rasuah, apabila diberi peluang memimpin, mensia-siakan kekayaan negara dan mengkayakan ahli keluarga mereka menjadikan anak mereka jutawan.

"Saya akan lawan mereka dan saya akan lawan bersungguh-sungguh," tegasnya.

Kira-kira 1,300 perwakilan yang mewakili 222 cabang PKR dari seluruh negara berkumpul di Stadium Melawati hari ini untuk menghadiri kongres khas.

Kongres berkenaan diadakan menjelang pilihan raya negeri , sebagai pengganti perhimpunan tahunan parti itu.

Lihat Komen