malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pusat Sejarah Rakyat anjur Anugerah Wartawan Muda Said Zahari
Diterbitkan:  Mar 14, 2023 8:15 PM
Dikemaskini: 3:06 PM
ADS

Pertubuhan Pusat Sejarah Rakyat menganjurkan Anugerah Wartawan Muda Said Zahari bagi mengenang tokoh wartawan tersebut.

Dianjurkan sejak 2019, anugerah ini melibatkan penyertaan wartawan berusia dari 18 hingga 35 tahun.

"Anugerah Wartawan Muda Said Zahari 2022 merupakan sebuah penghormatan kepada legasi Said Zahari (1928 – 2016), tokoh kewartawanan serta kebebasan akhbar yang penting di Asia Tenggara yang komited kepada idea keadilan sosial serta menolak politik perkauman.

"Kami selaku penganjur utama bersama waris keluarga Said Zahari melancarkan Anugerah Wartawan Muda Said Zahari sejak tahun 2019," kata pertubuhan itu dalam kenyataan.

Bagi anugerah kali ini, seramai tiga wartawan telah disenarai pendek iaitu Alena Nadia dan Low Choon Chyuan - kedua-duanya dari Malaysiakini - serta wartawan bebas Liani MK.

Alena dan Low masing-masing dengan tiga artikel manakala Liani menerusi satu artikelnya yang disiarkan di laman New Naratif.

Menurut Pusat Sejarah Rakyat, juri untuk anugerah kali ini adalah tokoh politik yang juga ahli akademik Dr Syed Husin Ali, pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia Dr Por Heong Hong dan koordinator program Pusat Sejarah Rakyat Zikri Rahman.

"Pemenang akan mendapat wang tunai RM1,000 dan tambahan RM 2,000 bagi tujuan perkembangan kewartawanan meliputi bengkel bakat, keperluan penterjemahan serta penyelidikan lanjut bagi penulisan," kata pertubuhan itu lagi.

Anugerah Wartawan Muda Said Zahari akan diadakan pada jam dua petang 18 Mac ini secara dalam talian di Zoom serta laman Facebook Pusat Sejarah Rakyat.

Turut diadakan adalah forum bertajuk “Kewartawanan Dalam Krisis: Meneladani Legasi Said Zahari" yang menampilkan Alena, Low dan Liani sebagai panel.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman Facebook Pusat Sejarah Rakyat atau hubungi Zikri Rahman melalui emel [email protected] dan talian 012-5314002.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen