malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS: Pemulihan hubungan Arab Saudi - Iran langkah awal penyatuan ummah
Diterbitkan:  Mar 13, 2023 12:34 PM
Dikemaskini: 4:34 AM
ADS

PAS menyambut baik pemulihan hubungan Arab Saudi dan Iran dan menyifatkanya sebagai langkah awal ke arah penyatuan ummah serta dunia Islam, kata presidennya Abdul Hadi Awang.

Malah katanya, pemulihan hubungan antara kedua-dua negara itu juga mampu menguatkan lagi perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin.

"Ia adalah tindakan yang amat baik dalam usaha untuk merapatkan kembali hubungan antara Arab Saudi - Iran yang selama ini terjejas akibat campur tangan dan tipu daya pihak berkepentingan yang mengambil kesempatan untuk keuntungan mereka semata-mata.

"Pemulihan hubungan ini juga turut dijangka akan memainkan peranan penting dalam menstabilkan suhu geopoltik di Asia Barat terutamanya penyelesaian konflik di Yaman, Syria, Lubnan dan Libya serta mampu menguatkan lagi perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Iran dan Arab Saudi baru-baru ini membuat langkah mengejutkan apabila bersetuju memulihkan hubungan dan membuka semula misi diplomatik.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengalu-alukan langkah itu selain memuji peranan yang dimainkan China dalam proses itu.

Beijing dilaporkan memainkan peranan konstruktif dalam menyokong usaha menyambung semula hubungan Tehran-Riyadh.

Persetujuan itu diumumkan pada Jumaat lalu selepas rundingan tertutup empat hari antara pegawai kanan keselamatan Iran dan Saudi di Beijing.

Dalam satu kenyataan unilateral, Iran dan Saudi bersetuju membuka semula kedutaan serta misi diplomatik dalam tempoh dua bulan.

Di samping itu, kedua-dua negara itu juga akan menghormati kedaulatan dan tidak akan mencampuri urusan dalaman antara satu sama lain.

Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada awal 2016 sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas misi diplomatik Arab Saudi di Iran selepas kerajaan itu menghukum mati seorang ulama Syiah.

Untuk meningkatkan hubungan dua hala dan meredakan ketegangan serantau, Iraq menganjurkan empat pusingan rundingan langsung antara Iran dan Arab Saudi pada 2021 dan pusingan kelima pada April tahun lalu.

Sementara itu Abdul Hadi yang juga bekas duta khas perdana menteri ke Timur Tengah berkata, dunia Islam sewajarnya turut sama menyambut baik langkah ini di samping menjadikannya sebagai contoh dan tauladan dalam usaha untuk mengeratkan kembali hubungan bagi mengelakkan sengketa berpanjangan yang merugikan ummah secara keseluruhan.

"PAS mendoakan agar pemulihan hubungan antara Arab Saudi - Iran akan terus berkekalan seterusnya menjadi titik tolak ke arah perpaduan dan penyatuan ummah ke atas seluruh umat dan dunia Islam," katanya yang juga anggota Parlimen Marang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen