malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nurul Amal atasi pencabar lain untuk jadi ketua Puteri Umno
Diterbitkan:  Mar 12, 2023 2:16 PM
Dikemaskini: 6:16 AM
ADS

Jawatan ketua Puteri Umno hampir pasti menjadi milik Nurul Amal Mohd Fauzi yang kini sedang mendahului dengan 76 undi berdasarkan keputusan tidak rasmi.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Nurul Amal - yang juga dikenali sebagai Along - bakal mengisi kekosongan ditinggalkan penyandang Zahida Zarikh Khan yang bertanding jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Keputusan itu menyaksikan Nurul Amal mengetepikan saingan pencabarnya, Dira Abu Zahar yang mendapat 31 undi.

Bekas ketua Puteri Umno Lembah Pantai, Dr Masliha Harun, pula sekadar memperoleh 28 undi.

Pertandingan bagi merebut jawatan ketua Puteri Umno menyaksikan pertembungan enam penjuru.

Nurul Amal sebelum ini merupakan naib ketua Puteri Umno Malaysia dan bertanding sebagai wakil BN untuk kerusi parlimen Kubang Kerian pada PRU ke-15.

Bagi jawatan ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad setakat ini menang dengan 98 undi berbanding Shahrizat Jalil 64 undi.

Untuk jawatan naib ketua Pemuda Umno, Hairi Md Shah, berjaya memintas saingan Ikmal Hazlan Ikmal Hisham apabila berjaya mendapat 74 undi berbanding lawannya itu 69 undi.

Semalam Ikmal Hazlan berada di depan.

Exco kerajaan negeri Melaka, Dr Muhamad Ikmal Saleh malam tadi disahkan berjaya memenangi jawatan ketua Pemuda Umno dengan 107 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen