malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mais sedia terima permohonan dapatkan tauliah mengajar agama
Diterbitkan:  Mar 7, 2023 5:02 PM
Dikemaskini: 9:06 AM
ADS

Kerajaan Selangor tidak ada masalah untuk membenarkan sesiapa saja menyampaikan ceramah agama di negeri itu selagi individu terbabit memiliki tauliah.

Bahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) juga sentiasa terbuka untuk menerima permohonan daripada mana-mana pihak yang mahu mendapatkan tauliah.

"Mais amat mengalu-alukan semua pihak yang ingin memohon tauliah di Selangor sama ada untuk mengajar, berceramah atau sebagainya," kata Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Bagaimanapun dia menjelaskan tiada sebarang keistimewaan atau pengecualian khas diberikan Mais kepada pemohon, termasuk jika mereka terdiri daripada kalangan personaliti popular.

"Setiap individu hendaklah membuat permohonan tauliah kepada Jawatankuasa Tauliah Mais melalui Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) terlebih dahulu," katanya.

Isu tauliah di Selangor menjadi perhatian akhir-akhir ini apabila dua personaliti berpengaruh tidak dapat menyampaikan ceramah mereka iaitu Azhar Idrus dan Mohamad Wadi Annuar Ayub.

Mereka memaklumkan pembatalan program masing-masing melalui media sosial dan kemudian mengundang rasa tidak senang sesetengah pihak.

Bagaimanapun pihak berkuasa agama kemudian menjelaskan kedua-dua mereka tidak dibenarkan berceramah kerana tidak memiliki tauliah seperti sepatutnya.

Untuk rekod Selangor bukan satu-satunya negeri yang mewajibkan seseorang penceramah agama memiliki tauliah sebelum dibenarkan menyampaikan syarahan agama.

Selangor - serta beberapa negeri lain - turut mengenakan sekatang ke atas pemimpin atau aktivis politik serta wakil rakyat menyampaikan kuliah atau ceramah agama di masjid serta surau.

Abdul Aziz berkata setakat minggu pertama Dis tahun lalu Selangor mengeluarkan tauliah kepada 5,642 penceramah berkelayakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen