Najib singkap sejarah hubungan rapat Melayu-Cina di Machap

(Dikemaskini )

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyingkap sejarah Masjid Machap yang menurutnya dibina hasil sumbangan masyarakat kaum Cina yang melambangkan hubungan baik antara Melayu dan Cina sejak sekian lama.

Manakala Datuk Jailani Medik Machap, pengasas Kampung Machap, katanya, telah mendoakan supaya 50 orang Cina terselamat daripada dipancung oleh tentera Jepun.

Ini, kata Timbalan Perdana Menteri, menunjukkan betapa hubungan kaum sudah terjalin sejak sekian lama.

"Oleh sebab itu kita, Barisan Nasional, mahu meneruskan tradisi hubungan baik ini dan ia boleh direalisasikan menerusi kesinambungan pengundi memilih calon BN Lai Meng Chong pada pilihanraya kecil Machap 12 April ini," katanya.

Najib berkata, hubungan kaum antara orang Cina dan Melayu di negara ini bukanlah sesuatu perkara yang baru, tetapi sudah bermula pada pemerintahan empayar Kesultanan Melaka lagi, demikian menurut laporan Bernama.

"Pada masa itu Laksamana Cheng Ho datang dari China. Dia datang bukannya hendak menjajah orang Melayu tetapi mahu menghulurkan tangan persahabatan kepada orang Melayu," katanya semasa merasmikan Taman Rekreasi Datuk Wira Poh Ah Tiam di Machap Baru hari ini.

Taman rekreasi berkenaan dinamakan sempena nama mendiang Datuk Wira Poh Ah Tiam, Pengerusi MCA Melaka dan penyandang kerusi Machap, yang meninggal dunia pada 15 Mac lalu.

Ekoran itu, pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap akan diadakan Khamis ini, yang bakal menyaksikan pertandingan antara calon calon Barisan Nasional (BN), Lai Meng Choi dan calon DAP, Liou Chen Kuang.

DAP tayang video klip

Dalam satu lagi majlis, Najib juga ditanya mengenai tindakan DAP menayangkan klip video mengenai perbahasan di Dewan Rakyat yang antara lainnya melibatkan seorang Ahli Parlimen BN menyarankan supaya golongan yang tidak suka tinggal di Malaysia supaya keluar dari negara ini.

DAP juga telah mengedar risalah mengenai ucapan yang didakwannya berbau perkauman oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno lalu.

Najib berkata, ucapan "seorang dua individu" dari BN tidak mencerminkan pendirian parti itu dan tidak boleh dijadikan ukuran.

"Bukanlah soal satu dua jurucakap tetapi yang penting ialah apa yang menjadi dasar BN, dan dasar ini, kita tentukan secara muafakat bersama-sama pemimpin BN yang lain," katanya selepas menyampaikan geran hak milik tanah kekal kepada 93 generasi kedua Felda Tun Ghafar Menggong dekat Alor Gajah hari ini.

"Kita telah membuat teguran kepada jurucakap Umno supaya tidak mengulangi perkara seperti ini. Apabila kita buat teguran bererti bahawa kita menolak apa yang mereka cakap itu kerana ia tidak selaras dengan dasar parti," katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Najib berkata DAP giat menemui pengundi untuk meraih simpati dengan pelbagai kaedah yang mengelirukan mereka.

Tentukan masa depan

"Jangan campur aduk dengan perasaan lain yang sebenarnya menyimpang dari dua perkara pokok iaitu (memilih) kerajaan yang boleh menentukan keamanan, keselamatan, keharmonian dan sebagainya, dan kita memilih calon yang mewakili parti dan kerajaan yang boleh membela dan menentukan rakyat dapat hidup dalam keadaan lebih selesa," katanya.

Najib juga berkata, pilihanraya kecil itu bukan masa bagi pengundi untuk melahirkan kekecewaan berhubung kepentingan tertentu dan perkara kecil yang mereka tidak puas hati.

"Ini bukan orang yang rasional pemikirannya, kita tidak boleh ikut perasaan hati, kita mesti gunakan kepala kita yang dingin, untuk menentukan masa depan yang lebih baik," katanya.

Mengenai pengundian di Machap pada Khamis ini, Najib berharap pengundi yang tinggal di luar kawasan itu supaya pulang untuk mengundi.

Sebelum itu, beliau mengumumkan peruntukan RM935,000 kepada Felda Tun Ghafar Menggong bagi pelbagai projek prasarana.

Pada satu acara lain, Najib berkata hubungan baik antara kaum menjadi pra-syarat bagi membentuk sebuah negara yang stabil, aman dan harmoni.




Pengiklanan