malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saifuddin jangka Bersatu terus ditekan sampai Muhyiddin didakwa
ADS

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah, 'menasihatkan' kerajaan supaya bersikap lebih rasional dalam berpolitik dan bukannya terdesak selpeas melihat PN menerima sambutan daripada rakyat.

"Kita berpolitik pun harus berpada-padalah... sebagai sebuah kerajaan, kita bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) dengan cara adil dengan cara saksama.

"Jadi, kalau mereka (kerajaan) nak mencari kesalahan Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu pada saya (menunjukkan kerajaan) memang terdesaklah, “ katanya pada sidang media di pejabat PN Indera Mahkota, dekat Kuantan hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beberapa pemimpin Bersatu bagi membantu siasatan mereka.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, pula sudah didakwa di mahkamah.

Pada 2 Mac lalu, Bendahari Agung Bersatu, Mohamed Salleh Bajuri ditahan reman selama dua hari oleh SPRM selepas dipanggil bagi memberi keterangan berkaitan akaun parti terbabit.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Saifuddin yang juga ahli parlimen Indera Mahkota menjangkakan kerajaan tidak akan berhenti menekan Bersatu sehingga Muhyiddin didakwa di mahkamah.

“Strategi yang mereka lakukan ialah untuk memburuk-burukkan Bersatu dan memburukkan (imej) Tan Sri Muhyiddin.

"Saya jangka mereka (kerajaan) tidak akan berhenti sehingga dapat perkara yang boleh membawa Tan Sri ke mahkamah.

“Dan ini mungkin diusahakan sebelum PRN di enam negeri yang dijangka pada Julai nanti," katanya.

Saifuddin yang menjadi seorang daripada 11 ahli parlimen PKR terbabit dalam Langkah Sheraton pada Feb 2020 itu berpendapat langkah membekukan akaun Bersatu juga bertujuan untuk melemahkan parti berkenaan.

Katanya dalam akaun tersebut hanya ada beberapa juta - dan bukannya bilion - sesuai dengan kedudukan sebuah parti politik seperti Bersatu.

SPRM membekukan akaun Bersatu sejak 1 Februari lalu.

“Kalau dia rasa dengan cara membekukan akaun Bersatu maka kami akan gagal dalam PRN, itu belum tentu (boleh berlaku).

"Kita (Bersatu) juga terdiri daripada mereka yang mempunyai kegigihan dan tidak semestinya sentiasa mengharapkan wang dari ibu pejabat untuk beroperasi.

"Ramai dalam kalangan mereka ini dah lama berpolitik, setakat nak pergi berkempen, duit minyak duit tempat tidur, mereka tak mengharapkan (duit parti), mereka pergi sendiri saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen