malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wee sorot 'kelemahan' cadangan bantuan caruman KWSP RM500
ADS

Presiden MCA Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) hari ini mempersoalkan cadangan Putrajaya untuk memberi peruntukan RM1 bilion bagi tujuan mengkreditkan RM500 kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1 mereka.

Dalam perbahasannya mengenai rang undang-undang Belanjawan 2023, Wee berkata memandangkan cadangan itu menyasarkan pencarum berumur 40-54 tahun, tidak ramai yang akan menerima manfaat daripada rancangan itu.

Dia menjelaskan bahawa kebanyakan pencarum KWSP dalam lingkungan umur tersebut akan bekerja selama sekurang-kurangnya 20 tahun secara purata dan adalah “mustahil” bagi mereka untuk mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1 mereka.

“Katakanlah seorang menerima gaji bulanan RM1,000. Di bawah peraturan asas caruman KWSP, caruman bulanan dalam akaun orang ini ialah RM240. Bermakna, ia akan menjadi (hampir) RM3,000 setahun.

“Jadi, jika orang ini telah bekerja selama 20 tahun, jumlah dalam Akaun 1 akan mencecah hampir RM60,000. Bermaksud kira-kira RM42,000 akan berada dalam Akaun 1 dan kira-kira RM18,000 dalam Akaun 2.

“Dan adalah mustahil untuk orang ini mengeluarkan keseluruhan RM42,000 dalam i-Citra, i-Sinar, pengeluaran khas dan sebagainya baru-baru ini.

“Walaupun ada kes sedemikian, pastinya bukan keseluruhan kohort 1.96 juta penyumbang. Jadi, apa yang saya maksudkan di sini, peruntukan RM1 bilion ini tidak akan sampai kepada sesiapa. Kalau ada pun, sedikit," katanya.

Wee berkata demikian ketika membahaskan rang undang-undang belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu lepas.

Dalam rang undang-undang itu, kerajaan berkata ia bersetuju menambah RM500 ke dalam Akaun 1 pencarum KWSP berumur antara 40 dan 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, dengan jumlah peruntukan RM1 bilion.

Dalam ucapan perbahasannya hari ini, Wee berkata mengikut laporan kewangan KWSP bagi tahun berakhir 31 Dis 2021, KWSP mempunyai 15.7 juta pencarum.

Daripada jumlah itu, dia berkata 53.4 peratus adalah penyumbang aktif manakala selebihnya tidak aktif.

Dia berkata inisiatif kerajaan itu mungkin hanya memberi manfaat kepada pencarum yang tidak lagi aktif.

Menurut bekas menteri pengangkutan itu, sesetengah pencarum dalam lingkungan umur sasaran mungkin mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, tetapi ini disebabkan mereka tidak lagi aktif mencarum.

Jelasnya, contoh ini termasuk mereka yang telah memulakan perniagaan sendiri - dan oleh itu menjadi majikan - atau mereka yang berhijrah ke luar negara tetapi tidak menutup akaun KWSP.

“Sebab itu saya katakan kita mesti mempunyai pendekatan yang disasarkan. Jangan sasarkan golongan yang salah.

“Saya nak tanya (kerajaan), adakah kita nak bantu ahli (KWSP) yang aktif atau yang sudah tidak aktif lagi?” soalnya.

Wee kemudian meminta perdana menteri untuk mengarahkan KWSP menjelaskan bagaimana ia akan melaksakan rancangan ini dan pengiraan untuk memperuntukkan RM1 bilion bagi kira-kira dua juta pencarum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen