malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengerusi IKIM meninggal dunia pada usia 80 tahun
Diterbitkan:  Feb 23, 2023 11:29 AM
Dikemaskini: 3:51 AM
ADS

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Emeritus Dr Mohd Kamal Hassan meninggal dunia jam 2.27 pagi tadi akibat komplikasi selepas pembedahan.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 80 tahun ketika menerima rawatan di Hospital Selayang Kuala Lumpur

Menurut kenyataan IKIM, jenazah dibawa ke Surau Al-Mawaddah, Mutiara Bangi untuk dimandi dan dikafankan pada jam 8.00 pagi tadi sebelum solat jenazah pada jam 11.00 pagi.

Jenazah akan disemadikan di tanah perkuburan Islam Bandar Baru bangi di Sungai Tangkas, Bangi.

Dr Mohd Kamal Hassan dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 24 Februari 2022.

Allahyarham merupakan tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Dilahirkan pada tahun 1942 di Pasir Mas, Kelantan, allahyarham mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya pada tahun 1965 dan kemudiannya menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dari Columbia University, New York pada tahun 1975.

Keilmuan serta ketokohan allhayarham diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa dan pernah menjadi Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1999 sehingga 2006.

Selain itu, allahyarham turut berperanan sebagai Pengerusi, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), sebuah lembaga yang ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

Anwar ucapkan takziah

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Anwar menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh pemikir Islam yang banyak memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

“...dan tentunya kehilangan ini meninggalkan kesan mendalam kepada sanubari umat.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen