malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Semakan SRC Najib: Bicara ditangguhkan, bersambung esok
ADS

Hari ini adalah hari kedua perbicaraan permohonan  semakan Najib Razak untuk membatalkan keputusan bersalahnya, serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International.

Berikut liputan oleh Malaysiakini:-


Mahkamah Persekutuan tangguh pendengaran hingga esok

12.40 tengahari: Mahkamah persekutuan yang dianggotai oleh lima hakim menangguhkan perbicaraan untuk hari ini, dan memaklumkan ia akan disambung semula pagi esok.

Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah akan meneruskan penghujahan lisannya, dan sekiranya ia selesai esok, maka giliran timbalan ketua pendakwa raya V Sithambaram meneruskan hujahannya pula.


Peguam Najib bangkitkan isu PRU15

12.03 tengahari: Muhammad Shafee berhujah bahawa perbicaraan rayuan SRC International oleh Najib Razak tahun lalu dijalankan secara tergesa-gesa dan dimuktamadkan beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov 2022.

"Salahkah jika anak guam saya mempunyai tanggapan bahawa dia tidak mendapat keadilan kerana pilihan raya semakin hampir?” soal Shafee kepada mahkamah tertinggi itu hari ini.

Timbalan pendakwa raya utama V Sithambaram kemudian mencelah dan membantah cara penghujahan lisan itu kerana ia menyimpang daripada apa yang terdapat dalam penghujahan bertulis, sambil menggesa peguam bela untuk tidak menimbulkan spekulasi.

Shafee menangkis dengan berkata bahawa peguam pembelaan bukan mengatakan mahkamah persekutuan tahun lalu "melalui proses yang tidak jujur", sambil menambah bahawa anak guamnya tidak boleh dipersalahkan kerana mempunyai tanggapan sedemikian.

Dia kemudiannya meminta panel hakim yang bersidang hari ini supaya mengambil notis kehakiman mengenai isu itu sebelum dia bertukar kepada topik penghujahan yang berbeza.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib atas tujuh pertuduhan melibatkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International.

SRC ialah bekas anak syarikat dana kekayaan negara 1MDB, sebelum menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). 1MDB juga dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc.

Najib juga pernah menjadi menteri kewangan, serta penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.


‘Kali pertama Mahkamah Persekutuan tak benarkan peguam tarik diri’ 

11.44 pagi: Muhammad Shafee berhujah bahawa keputusan mahkamah persekutuan sebelum ini iaitu tahun lepas yang tidak membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan SRC adalah kali pertama berlaku di Malaysia.

Peguam utama Najib itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan ketika itu - yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat - untuk menafikan permohonan peguam bekas perdana menteri ketika itu untuk penangguhan selama tiga hingga empat bulan.

"Ini kali pertama berlaku. Apabila rayuan dibuat, terdapat pertukaran peguam," kata Shafee kepada panel yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli.

Peguam itu berkata bahawa keputusan mahkamah tertinggi berkenaan tahun lepas - yang mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib dalam kes rasuah SRC - adalah sedemikian rupa sehingga Najib tidak mendapat sebarang keadilan.

Shafee kemudiannya memetik beberapa kes undang-undang.

Hujahnya, mahkamah tertinggi itu tahun lalu yang tidak membenarkan penangguhan menyebabkan peguambela ketika itu tidak dapat mengemukakan hujahan untuk Najib.


Najib tidak dapat perbicaraan adil dalam rayuan SRC: Shafee

11.08 pagi: Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa bekas perdana menteri Najib Razak tidak mendapat perbicaraan yang adil semasa di Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan kes SRC tahun lepas.

Shafee berkata ini adalah kerana mahkamah tertinggi itu sebelum ini - yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat - tidak membenarkan permohonan peguam Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan supaya mereka boleh membuat persiapan yang sewajarnya, serta tidak membenarkan permohonan oleh peguam Najib, ketika itu, Hisyam Teh Poh Teik untuk melucutkan dirinya semasa perbicaraan rayuan.

Hisyam Teh bersama Najib sebelum ini

Shafee berhujah bahawa Hisyam ketika itu mahu melucutkan diri kerana dia tidak bersedia untuk mewakili Najib apabila mahkamah persekutuan menolak permohonan untuk menangguhkan perbicaraan.

Peguam itu menegaskan bahawa ini menyaksikan pasukan peguam Najib ketika itu tidak membuat sebarang penghujahan lisan semasa pendengaran rayuan, dan hanya pihak pendakwaan - yang merupakan responden dalam rayuan itu - mengemukakan hujahan lisan.


Sistem audio berjaya dipulihkan, prosiding bersambung

10.53 pagi: Juruteknik Istana Kehakiman berjaya memulihkan sistem  audio di kamar mahkamah bagi membolehkan prosiding bersambung semula.

Sebelum itu, semasa prosiding dihentikan seketika, bekas perdana menteri Najib Razak kelihatan berada di galeri awam dan bercakap  dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Isteri Najib, Rosmah Mansor duduk berdekatan, sementara pegawai dari Penjara Kajang memantau keadaan.


Prosiding dihentikan seketika untuk baiki isu audio

10.11 pagi: Prosiding Mahkamah Persekutuan terpaksa ditangguhkan seketika, berikutan isu yang timbul daripada sistem audio yang bermasalah.

Panel hakim akan bersidang berkumpul semula apabila isu audio dibetulkan.


Shafee dakwa Mahkamah Persekutuan terkhilaf 

10.10 pagi: Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa panel hakim mahkamah persekutuan sebelum ini - yang menolak rayuan SRC, Najib Razak tahun lalu - telah terkhilaf kerana tidak membenarkan peguam bela bekas perdana menteri itu melucutkan dirinya semasa pendengaran rayuan.

Najib Razak

Shafee memberitahu panel mahkamah tertinggi hari ini bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menghalang peguam daripada melucutkan diri mereka ketika pendengaran rayuan kecuali dalam keadaan tertentu.

Menurut Shafee, mahkamah bukan tanpa remedi sekiranya peguam memutuskan untuk melucutkan diri mereka semasa perbicaraan, termasuk membawa prosiding menghina terhadap peguam berkenaan.

Tengku Maimun Tuan Mat

Tahun lalu semasa perbicaraan semakan SRC di hadapan panel yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mahkamah persekutuan menolak permohonan peguam Najib ketika itu, Hisyam Teh Poh Teik untuk melucutkan dirinya di ketika pendengaran rayuan itu sedang berlangsung.

Ini menjadi sebahagian daripada asas semakan SRC sekarang.

Hisyam Teh Poh Teik

Pendengaran semakan SRC bermula

10 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak mengambil tempat di kandang tertuduh, manakala hakim-hakim mahkamah persekutuan memulakan persidangan.

Turut kelihatan di galeri awam melihat ialah isteri Najib, Rosmah Mansor.


Peguam bela utama Najib juga mula tiba

9.42 pagi: Peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah dan anggota pasukan pembelaan yang lain juga mula berada di mahkamah.

Muhammad Shafee Abdullah

Difahamkan prosiding akan bermula tidak lama lagi.


Najib tiba di mahkamah

9.38 pagi: Pemohon semakan SRC International, Najib Razak dilihat di galeri awam, dengan diiringi oleh beberapa pegawai dari Penjara Kajang.

Sementara menunggu perbicaraan bermula, bekas perdana menteri itu dilihat bercakap  dengan beberapa individu.


Sithambaram, DPP memasuki mahkamah

8.45 pagi: Ketua timbalan pendakwa raya V Sithambaram memasuki bilik mahkamah untuk menunggu prosiding dimulakan.

Turut kelihatan bersamanya ialah DPP Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan anggota pasukan pendakwaan yang lain.

V Sithambaram (depan)

Perbicaraan permohonan semakan oleh Najib Razak kepada panel Mahkamah Persekutuan, yang diketuai oleh Hakim Besar, Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, dijangka terus mendengar hujahan lisan daripada peguam bela utama bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah selepas berhenti pada 19 Jan bulan lepas.

Bekas perdana menteri itu memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas atau agar rayuannya didengar semula.

Abdul Rahman Sebli

Selain Hakim Abdul Rahman Sebli, turut akan bersidang sama hari ini adalah Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Rayuan  Abu Bakar Jais telah dipilih untuk berada di bangku simpanan berdasarkan Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan, demi kepentingan keadilan.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc V Sithambaram bertindak sebagai pihak pendakwaan.

Ini adalah percubaan terakhir Najib, 69 melalui prosiding mahkamah untuk mengetepikan keputusan itu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga telah memfailkan petisyen memohon pengampunan diraja atas sabitan beliau dalam kes SRC International.

Najib Razak

Selain itu,  Najib juga melalui Tetuan Shafee & Co pada 5 Jan memfailkan petisyen di kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD).

Petisyen itu difailkan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva melalui penghujahan digital dan dia memohon pembebasan atau perbicaraan semula berikutan pendengaran rayuan Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa.

Mahkamah juga menetapkan esok dan Rabu untuk pendengaran permohonan semakan Najib.



Lihat Komen