malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
NGO rayu campur tangan Sultan Perak berhubung projek Kledang Saiong
Diterbitkan:  Feb 18, 2023 9:00 AM
Dikemaskini: 1:00 AM
ADS

Beberapa pertubuhan memohon campur tangan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bagi membantu melindungi Hutan Simpan Kledang Saiong daripada dijadikan ladang hutan (ladang monokultur).

Mereka memohon baginda menggesa kerajaan negeri mematuhi ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara pada 2021 yang bersetuju melaksanakan moratorium kelulusan baru penubuhan ladang hutan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun.

Mereka juga berharap baginda menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan supaya membatalkan cadangan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur tersebut.

Semalam dua parti politik dan beberapa NGO berhimpun di hadapan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bagi menyerahkan memorandum kepada sultan Nazrin bagi menyatakan kebimbangan terhadap cadangan pembangunan ladang hutan di hutan simpan berkenaan.

Memorandum itu ditandatangani Pengerusi Pertubuhan Komuniti Sejahtera Aman Perak, Ahmad Latfi Mohd Ibrahim; Presiden Parti Hijau Malaysia, Zabri Mokhtar dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Selain itu ia turut ditandatangni enam wakil daripada pelbagai NGO iaitu Meor Razak Meor Abdul Rahman (Sabahat Alam Malaysia), Mohd Rafi Zainal Abidin (Pertubuhan Sabahat Ekologi Perak), Hafizudin Nasarudin (Persatuan Aktivis Sahabat Alam), Ching Boon Tat (Pemerhati Lembah Kinta), dan Dailami Zahari (Jawatankuasa Bertindak Kampung Rambai Tujuh).

Ahmad Latfi berkata memorandum itu diterima oleh setiausaha kanan sultan, Norzahari Efendy Zakaria pada sebelah petang.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan kawasan seluas 5,994 padang bola di Kledang Saiong dicadang untuk dijadikan ladang hutan dan beroperasi selama 50 tahun.

Dalam memorandum mereka, kumpulan itu membangkitkan pelbagai kebimbangan mengenai cadangan itu daripada kemusnahan alam sekitar dan konflik manusia-hidupan liar sehingga kepada laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang didakwa cacat.

Mereka berkata pembangunan ladang monokultur berskala besar dalam HSK memusnahkan litupan hutan asal melalui amalan tebang habis.

"Konsep ladang itu sebenarnya bercanggah dengan konsep hutan dari segi bahasa dan terminologi.

"Ladang adalah kawasan pertanian secara monokultur berskala besar yang dipenuhi tanaman manakala hutan asal pula terbentuk secara semula jadi oleh tumbuh-tumbuhan serta mempunyai kepelbagaian hayat yang tinggi dan melakukan pelbagai fungsi ekologi," katanya berhubung projek seluas 4,280 hektar itu.

Mereka juga mendakwa bahawa Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) berhubung Kajian Impak Sosial (SIA) tidak meliputi keseluruhan penduduk

yang tinggal berhampiran kawasan cadangan projek.

Mereka juga berkata kawasan cadangan projek merupakan kawasan koridor hidupan liar terutama habitat dan beberapa spesis mamalia terutama yang dilindungi sepenuhnya

dibawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Ini termasuk Harimau Kumbang (Panthera pardus), Beruang Matahari (Helarctos malayanus), Siamang (Symphalangus syndactylus), Tapir (Tapir indicus) dan Kucing Batu (Prionailurus bengalensis).

"Sekiranya kawasan tersebut dilaksana pembangunan ladang monokultur, tidak mustahil akan menyebabkan kehilangan kekal habitat dan kawasan keliaran serta mengancam populasi hidupan liar dan menimbulkan konflik diantara manusia dengan hidupan liar," kata mereka.

Menurutnya skala keluasan kawasan cadangan projek terlalu besar dan akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

Mereka juga berkata kegiatan mencari hasil hutan menjadi sumber pendapatan utama dan pendapatan sampingan sebilangan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan cadangan projek.

Laporan EIA projek itu menyatakan masyarakat Orang Asli bakal kehilangan pendapatan daripada hasil bukan hutan seperti madu kelulut, herba seperti tongkat ali, rotan dan sayur-sayuran dari hutan.

Selain itu katanya, kerja-kerja pemusnahan litupan hutan dan kerja-kerja penyediaan tapak boleh mencemar kualiti air anak-anak sunga yang memasuki Sungai Perak melalui proses hakisan, sedimentasi dan pemendapan.

"Kekeruhan, kelodak, mendapan dan juga berminyak yang terhasil boleh menjejaskan operasi muka sauk loji rawatan air yang terdapat di Sungai Perak," katanya.

Menurutnya lagi, projek tersebut juga boleh meningkatkan suhu keliling dan mengurangkan kelembapan kawasan berhampiran cadangan projek akibat penghasilan karbon dioksida, pepejal terampai dan bendasing di udara serta kekurangan pembebasan oksigen.

"Ini boleh menjejaskan kualiti kesihatan penduduk, di samping itu boleh juga memberi kesan kepada kesuburan dan tumbesaran tanam-tanaman penduduk," kata mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen