malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Adun Bebar tawar diri tanding jawatan ketua Umno Pekan
Diterbitkan:  Feb 16, 2023 2:58 PM
Dikemaskini: 6:58 AM
ADS

Adun Bebar, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, har ini menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan ketua Umno Pekan pada pemilihan peringkat bahagian parti itu tidak lama lagi.

Dia yang juga exco kanan kerajaan Pahang merupakan wakil rakyat Bebar selama tiga penggal. Dia menjadi exco Pahang sejak 2018.

Sebelum PRU ke-15 lalu Mohammad Fakhruddin diberi portfolio exco sains, teknologi, komunikasi dan multimedia Pahang sebelum bertukar kepada kerja raya, pengangkutan dan kesihatan.

"Keputusan (untuk bertanding) ini dibuat bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara sejak Ogos tahun lalu.

"Saya yakin sudah tiba masanya untuk saya menabur bakti dan keringat kepada pihak penduduk dan ahli Umno Pekan," katanya dalam kenyataan media di Kuantan hari ini.

Mohammad Fakhruddin turut yakin melalui kerjasama dan hubungan baiknya dengan pemimpin Umno Pahang selama ini, lebih banyak kemajuan dan pembangunan di Pekan dapat dilaksanakan.

Ekoran hukuman ke atas Najib, jawatan ketua Umno Pekan dipangku timbalannya, Zamri Ramly sejak Ogos lalu.

Zamri sebelum ini memaklumkan belum ada pihak menawarkan diri untuk bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan kali ini.

Dia ketika dihubungi hari ini memaklumkan setakat ini pejabat Umno Pekan belum menerima borang pencalonan daripada mana-mana pihak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen