Sebanyak 444 kes telah disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) dari 2020 hingga 23 Jan.
Dalam jawapan bertulis di parlimen semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu, 38 kes telah didakwa di mahkamah.
"Sebanyak 31 kes telah selesai dan dijatuhkan hukuman denda dengan nilai keseluruhan yang berjumlah RM 284,000.00 dan sebanyak tujuh kes lagi sedang dalam proses perbicaraan,” katanya.
Fahmi (PH-Lembah Pantai) menjawab soalan Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang bertanyakan berapa banyak akaun media sosial dari pelbagai platform telah disiasat dan sebab-sebabnya.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia menetapkan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian untuk menghantar komunikasi yang dianggap menyinggung perasaan atau boleh menyebabkan kegusaran kepada orang lain.
Kesalahan di bawah seksyen itu boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Fahmi berkata, dua kes yang disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM10,000.
Selain itu, sebanyak 43 kes telah dikeluarkan dengan notis amaran.
Menteri itu berkata daripada jumlah 444 kes itu, platform yang mempunyai jumlah siasatan tertinggi ialah Facebook (158), diikuti Whatsapp (121), Twitter (36), Instagram (27) dan Tiktok (23).

