malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengguna mengeluh caj bulanan IWK naik 'diam-diam'
Diterbitkan:  Feb 13, 2023 11:34 AM
Dikemaskini: 4:37 AM
ADS

Segelintir pengguna meluahkan rasa kurang senang mereka selepas menyedari perlu membayar lebih 25 peratus lebih tinggi dari biasa bagi caj perkhidmatan pembetungan bulanan masing-masing.

Walaupun caj baru itu diumumkan tahun lalu, segelintir netizen baru menyedari mereka kini perlu membayar RM10 sebulan berbandining hanya RM8 sebelum ini.

Rasa terkejut itu disuarakan warganet dengan sebahagian daripada mereka membalas hantaran pengguna Twitter yang berkongsi bil perkhidmatan pembetungannya.

"Peningkatan dari RM48 ke RM60? 25 peratus meningkat?" ciap seorang pengguna di media sosial tersebut.

Sebahagian daripada netizen juga menyalahkan perdana menteri sebelum ini Ismail Sabri Yaakob dan bekas menteri alam sekitar dan air Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut laporan Bernama pada 27 Sept tahun lalu, Kementerian Alam Sekitar dan Air mengumumkan kadar baru bagi perkhidmatan pembetungan bersambung dan mengosongkan tangki septik.

Kementerian itu berkata bahawa kadar baru berkenaan diluluskan oleh kabinet pada April 2022.

Pada masa itu, kementerian terbabit berkata kenaikan caj itu perlu kerana Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) - syarikat pengurusan pembetungan nasional - tidak menaikkan kadar caj sejak 1994.

Catat kerugian sebelum cukai

Ini menyebabkan masalah aliran tunai bagi syarikat yang bergelut dengan peningkatan kos operasi.

Walaupun pengumuman 27 Sept 2022 hanya menggambarkan kadar baru untuk tarif domestik bermula sama ada 1 Okt tahun lepas atau 1 Jan tahun ini, warta kerajaan persekutuan menunjukkan bahawa kadar akan dinaikkan semula tidak lama lagi.

Mulai 1 Jan 2024, premis domestik yang tidak termasuk dalam kategori kos rendah atau kediaman kampung akan dikenakan bayaran RM12.

Caj ini akan meningkat sekali lagi kepada RM15 sebulan pada 1 Jan 2026.

Pada 2022, Tuan Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar domestik bermula 1 Jan 2023, bagaimanapun dia tidak pengumumkan peningkatan akan turut berlaku pada 2024 dan 2026.

Menurut Laporan Kelestarian IWK 2021, syarikat itu melaporkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM67.6 juta pada 2021.

Laporan yang sama berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) menjalankan latihan perundingan awam pada Nov 2021 yang menyaksikan "lebih 80 peratus daripada 2,356 responden" bersetuju untuk keperluan menyemak semula tarif perkhidmatan pembetungan untuk membantu syarikat menambah baik perkhidmatan.

Malaysiakini telah menghubungi IWK dan menteri bertanggungjawab dan masih menunggu penjelasan mereka.

Lihat Komen