Kementerian Komunikasi Digital (KKD) akan terus memantau penggunaan aplikasi-aplikasi kerajaan untuk menjamin keselamatan data dan maklumat peribadi pengguna daripada ancaman penggodam.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata pemantauan itu bagi memastikan langkah digitalisasi dapat dilaksanakan dan membudayakan urusan perkhidmatan awam tanpa kertas.
"Cybersecurity Malaysia (CSM) telah adakan pemantauan aspek keselamatan kepada dua iaitu kelancaran penggunaan dan jalur lebar.
"KKD memberi keutamaan kepada aspek keselamatan, sama ada keselamatan data pribadi atau aplikasi itu sendiri untuk mengenal pasti awal apa jua kelemahan atau ruang yang boleh disalah guna untuk apa-apa jenayah siber," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran parlimen Lembah Pantai di Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Terdahulu, Fahmi diminta mengulas kesiapsiagaan kerajaan dan KKD berhubung isu keselamatan data pengguna yang menggunakan aplikasi MyJPJ.
Menurut Fahmi, pihak CSM telah pun melakukan saringan dan siasatan terhadap aplikasi tersebut.
"Kita telah kenal pasti satu kelemahan yang tidak terlalu besar tapi telah maklumkan kepada MOT (Kementerian Pengangkutan) dan perkara itu telah pun diselesaikan .
"Dalam KKD membantu ke arah digitalisasi banyak perkhidmatan, sama ada perkhidmatan kerajaan, kementerian, PBT, aspek keselamatan data peribadi dan aplikasi tersebut memainkan peranan yang penting," katanya.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan pelekat Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) tidak lagi perlu dipamerkan pada kenderaan persendirian milik rakyat Malaysia.
Menurutnya, pemilik kenderaan persendirian yang merupakan warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis (secara in-house).
Berikutan itu terdapat netizen yang menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku kebocoran data peribadi ketika menggunakan aplikasi berkenaan.

