Kerajaan disaran memperkenalkan 'hari pembangkang' di Dewan Rakyat sebagai sebahagian reformasi parlimen yang dirancang di bawah pentadbiran sekarang, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.
Lim yang menjadi wakil rakyat selama lima dekad di parlimen berkata, langkah itu - salah satu ciri dalam demokrasi Westminster - membolehkan pembangkang memainkan peranan sepenuhnya dalam sistem kerajaan seperti yang digariskan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Saya mencadangkan reformasi parlimen termasuk memperkenalkan 'hari pembangkang' di mana pembangkang akan membuat keputusan mengenai urusan parlimen.
“Peruntukan dua hari Hari Pembangkang untuk mesyuarat Parlimen lebih lama dan satu hari Hari Pembangkang untuk mesyuarat parlimen yang lebih pendek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, Lim turut mempersoalkan tindakan Perikatan Nasional (PN) menamakan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang.
Sedangkan katanya, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, pernah dinamakan sebagai calon perdana menteri oleh gabungan itu.
Dia berkata ini kerana kedudukan ketua pembangkang datang dengan kuasa sebagai menteri.
“Bagaimana mereka (Abdul Hadi, Muhyiddin) bercita-cita menjadi perdana menteri jika mereka tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang?” kata Lim.
Ketika pelantikan Hamzah sebagai ketua pembangkang, PN mengumumkan Muhyiddin mengetuai kabinet bayangan gabungan itu, manakala Abdul Hadi sebagai timbalannya.
Kabinet bayangan itu juga terdiri daripada 26 ahli parlimen yang akan menjadi jurucakap pembangkang dalam perkara berkaitan setiap portfolio kabinet.
Persidangan pertama parlimen ke-15 akan bermula esok. Sesi ini dijadualkan berlangsung selama 29 hari.

