Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) mendakwa seorang daripada individu yang menghadiri pertemuan dengan dua pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), adalah pemegang jawatan sebuah firma produk tembakau.
Ini susulan kenyataan KKM sebelum ini yang menafikan bahawa dua pegawai kanannya dikatakan telah bertemu wakil daripada industri tembakau, yang melanggar Artikel 5.3 Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) dan polisi berkaitan.
Sebaliknya, KKM pada 2 Februari lalu, menjelaskan bahawa dua pegawai kementerian itu telah dikunjungi dua individu yang memperkenalkan diri mereka sebagai pemilik syarikat basikal Putrajaya dan syarikat percetakan.
Menurut KKM, tujuan perjumpaan itu untuk membincangkan cadangan bagi mengadakan program intervensi pengurangan berat badan, namun tiada sebarang persetujuan dibuat semasa perbincangan tersebut.
Namun MCTC hari ini menyangkal dakwaan itu dan berkata, Individu berkenaan pernah dikesan muncul dalam pelbagai acara media dan forum di media nasional,
“MCTC sentiasa berwaspada dalam semua aspek kawalan tembakau, termasuk usaha pelbagai pihak untuk mengelirukan juga pegawai kementerian dan memperdayakan mereka kepada seolah-olah menyokong aktiviti pro-tembakau.
“Sebagai contoh, walaupun KKM telah menjelaskan bahawa wakil dalam mesyuarat itu telah memperkenalkan diri masing-masing sebagai dari sebuah syarikat basikal dan percetakan; seorang daripada individu itu adalah pemegang jawatan di pejabat organisasi produk tembakau yang diketahui umum,” kata MCTC dalam satu kenyataan hari ini.
Malaysia telah menjadi ahli WHO FCTC sejak 16 Sept 2005.
Menerusi kenyataan media yang dihantar, MCTC juga melampirkan gambar individu berkenaan yang juga adalah presiden sebuah NGO berkaitan industri vape.
Menurut laman Facebook NGO itu, ia memperkenalkan pertubuhan tersebut sebagai organisasi bukan mencari keuntungan yang ditubuhkan untuk tujuan mengawal selia industri vaping di Malaysia.
Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dalam memperjuangkan vape sebagai alternatif yang berdaya maju dan "lebih sihat" berbanding merokok.

