malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Umno akan sukar tarik sokongan golongan muda kerana pecat KJ'
Diterbitkan:  Feb 5, 2023 10:53 AM
Dikemaskini: 2:53 AM
ADS

Umno akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan semula sokongan golongan muda berikutan tindakan parti itu memecat pemimpin kritis seperti bekas ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Dalam temu bual dengan Utusan Malaysia, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata parti itu telah mengambil langkah ke belakang dengan isyarat yang salah kepada golongan muda.

“Kita memberi petanda yang salah kepada mereka (golongan muda). Iaitu parti Umno tiada demokrasi, dipecat atau digantung. Itulah persepsi mereka sekarang terhadap parti ini.

“Mereka (orang muda) lebih melihat dan mahukan pe­mimpin yang dipecat Umno seperti Khairy. Beliau (Khairy) terbuka dalam mengkritik parti dan pada orang muda itu sesuatu yang wajar. Sebab itu, saya kata mereka ideal. Mereka mahu kebebasan diberi pada ahli. Orang muda tidak akan masuk parti yang menyekat kebebasan mereka,” kata ahli parlimen Bera itu seperti dilapor.

Khairy, bersama bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar dipecat daripada parti kerana didakwa mensabotaj parti semasa pilihan raya umum ke-15, manakala beberapa pemimpin dan ahli lain digantung selama enam tahun.

Khairy sejak itu mempertahankan kritikannya terhadap Umno dan berkata dia tidak akan merayu keputusan pemecatan itu.

Sementara itu, Ismail Sabri menyatakan Umno telah kehilangan beberapa sokongan golongan muda pada PRU ke-15 lalu, dan parti itu boleh menjangkakan akan menghadapi nasib yang sama pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, termasuk dalam kalangan pengundi kali pertama yang telah didaftarkan secara automatik.

“Kita hadapi masalah sama dalam PRU15 baru-baru ini yang akhirnya ditolak orang muda dan golongan profesio­nal. Sebab kita tak nampak apa tawaran baharu yang diberikan sebelum dan selepas PRU15 kalau kita dengan cara dan nada sama.

“Jadi tiada apa yang hendak diharapkan pada Umno lagi. Kalau dulu kita ditolak, tiada sebab mereka mahu ubah dan tolak Umno sekali lagi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen