malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Penceramah' dakwa diketepi stesen TV kerana tekanan dari atas
ADS

Ketua Pemuda PAS Pahang mendakwa dia menjadi 'mangsa' pihak atasan dalam kerajaan apabila tidak lagi dibenarkan muncul dalam rancangan terbitan TV Alhijrah.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Aireroshairi Roslan berkata, dia dihubungi seseorang dari stesen televisyen tersebut.

"Ya memang betul, salah seorang kakitangan stesen televisyen itu menelefon saya Rabu lalu.

"Dia memberitahu pihaknya menerima tekanan daripada 'pihak atasan' untuk membatalkan jemputan kepada saya sebagai penceramah.

"Saya kira keputusan ini bukan dibuat pihak penerbit (program) tapi (arahan) pihak lebih atas lagi... mungkin kerajaan sekarang dan mungkin (arahan) menteri hal ehwal agama yang baru," katanya ketika dihubungi di Kuantan hari ini.

Terdahulu, Aireroshairi memuat naik status di laman sosial Facebook miliknya mengenai perkara itu.

Melalui hantaran itu, calon PN bagi kawasan parlimen Paya Besar terbabit menulis: "Akibat tekanan dari pihak atasan, saya tidak dibenarkan muncul di TV Alhijrah bermula minggu ini. Serangan yang telahpun dijangka."

Ditanya lanjut mengenai pembabitannya dalam TV Alhijrah, Aireroshairi berkata, dia menjadi penceramah dalam segmen Assalamualaikum disiarkan stesen televisyen itu pada jam 7 pagi.

"Saya menjadi ahli panel jemputan sejak bulan April tahun lalu, biasanya jam 4 pagi bertolak ke sana (Kuala Lumpur) dan selepas selesai program, kalau tidak ada urusan lain, saya akan kembali ke Kuantan,." katanya.

Pada masa sama dia tidak menyalahkan sesiapa di stesen televisten berkenaan.

Katanya mereka hanya menjalankan tugas dan memahami tekanan yang mungkin mereka hadapi untuk membuat keputusan mengetepikannya dari menjadi jemputan.

Dia turut memberitahu tauliah mengajar agama di Selangor yang dimiliki sebelum ini juga tidak diperbaharui.

Namun, katanya setakat ini dia tidak berdepan masalah untuk terus memberi kuliah agama di Pahang.

Aireroshairi pernah bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 mewakili PAS di kerusi dewan undangan negeri Kerdau namun kalah kepada calon Umno-BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Dalam pilihan PRU tahun lalu pun dia menjadi pertaruhan PN untuk kerusi parlimen Paya Besar. Dia gagal dalam cubaan tersebut dan tunduk kepada penyandang, Mohd Shahar Abdullah, dari BN dengan majoriti 1,317 undi.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen TV Alhijrah berhubung dakwaan Aireroshairi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen