malaysiakini logo
story-image
ADS

Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa) hari ini meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengkaji semula Akta Duti Hiburan 1953 (Akta 103) yang disifatkan sebagai tidak selari dengan undang-undang dan aktiviti konsep moden.

Presiden Matfa Richard CK Koh berkata bahawa cukai ini adalah “cukai era penjajah” yang bertujuan untuk menampung “cukai mudarat” untuk hiburan yang agak banyak pada zaman penjajah di mana kelab malam, pertunjukan tarian bogel, perjudian, tinju, tarian joget dan aktiviti seperti itu diletakkan di bawah akta ini.

"Hari ini ia masih digunakan untuk pusat hiburan keluarga seperti taman tema, taman tema keluarga (FEC), muzium, zoo, akuarium, taman air, pusat boling dan teater. Ini adalah kes klasik di mana evolusi kawal selia telah ketinggalan di belakang evolusi konsep perniagaan serta hiburan.

"Justeru, pusat hiburan keluarga dan industri taman tema harus dikecualikan daripada cukai, kerana hiburan untuk kanak-kanak dan keluarga bukanlah satu perbuatan yang salah - mengenakan cukai kepada mereka dengan 'cukai dosa' adalah memburukkan lagi keadaan.

"Kami berharap kerajaan akan menyemak semula keputusan pengecualian cukai hiburan di bawah Akta Cukai Hiburan untuk taman tema dan taman hiburan keluarga (FEC)," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, pihaknya telah menghantar surat kepada perdana menteri semalam agar kerajaan mempertimbangkan cukai hiburan ini dengan cara yang lebih munasabah, konsisten dan adil.

Surat itu turut dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan, dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.

Matfa juga mengesyorkan kepada kerajaan dan Kementerian Kewangan beberapa langkah yang perlu dikaji semula berpaksikan jangka masa pelaksanaan termasuk pembekuan penerimaan serta-merta cukai hiburan di seluruh negara.

Katanya, sebelum ini Kementerian Kewangan telah memberikan pengecualian yang sama selama lapan tahun di seluruh negara mulai 22 Disember 2005.

"Untuk jangka masa sederhana, kami meminta pengecualian cukai hiburan tempoh lima tahun dan dalam jangka panjang pengecualian lengkap untuk sektor khusus seperti taman tema dan pusat hiburan keluarga.

"Ia adalah di bawah kuasa kerajaan persekutuan dan kementerian Kewangan untuk mengklasifikasikan semula taman tema keluarga dan tarikan yang jauh dari akta kolonial British 1953 yang lapuk ini,” tambahnya.

Menurut Matfa taman-taman tema di Malaysia mempunyai tujuh juta pengunjung (30 peratus daripadanya adalah pelancong antarabangsa) dengan menjana anggaran pendapatan sebanyak RM3.12 bilion pada tahun 2019, (sebelum pandemik) dan menyediakan 40,000 pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Industri ini juga merupakan yang paling parah dari awal Disember 2019 dan kebanyakan perniagaan telah ditutup secara berterusan selama lebih daripada 500 hari sepanjang tempoh berkurung pada tahun 2020 dan 2021.

Berdasarkan laporan industri, sebanyak 500 individu terbabit dalam perniagaan di taman tema, taman hiburan, pusat hiburan keluarga, muzium, galeri dan akuarium mengalami kerugian kira-kira RM5 bilion atau bersamaan RM260 juta setiap bulan penutupan.

Dalam tempoh yang sama sebanyak 15,000 pekerja telah hilang kerja secara tetap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen