malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Ada apa di sebalik 'kenakalan' aksara madani?
ADS

ULASAN | Ketika menerima maklumat berkaitan program wacana membangun negara madani dan amanat perdana menteri untuk Malaysia, saya menganggapnya sekadar satu lagi acara dan obrolan seorang pemimpin negara.

Di sebalik imej Anwar Ibrahim sebagai pemikir dan reformis, saya hanya menanggapi majlis tersebut tidak akan banyak bezanya daripada syarahan-syarahan sebelum ini.

Malah ia mungkin tidak sehangat sambutan yang perdana menteri ke-10 itu terima semasa majlis CT Corp Leadership Forum di Jakarta baru-baru ini.

Ternyata jangkaan saya meleset. Ia tidak seperti beberapa majlis perdana menteri di Seri Perdana atau syarahan di hadapan penjawat awam ketika dia ada kesempatan berbuat begitu.

Tidak juga seperti lawatan dia ke masjid-masjid tertentu setiap Jumaat sejak mengangkat sumpah memegang tampuk pemerintahan negara.

Program amanat tersebut menjadi platform untuk memuktamadkan sebuah agenda besar yang melukis jalan dan lorong baru negara untuk terus bergerak ke hadapan.

Ia adalah sebuah pelan untuk sebuah negara yang pernah bermimpikan maju pada 2020. Juga sebuah wawasan baru bagi Malaysia melangkaui perancangan tahunan biasa atau rancangan lima tahun sekali.

Konsep yang sederhana, adil

Amanat Anwar ialah tentang membina individu, masyarakat, negara dan segala isinya berteraskan konsep khusus, sama ada Malaysia Madani, atau masyarakat madani.

Malah mungkin juga 'Salam Malaysia Madani' akan dimasyhurkan rentetan pelancaran konsep itu.

Sementara konsep itu sedang difahami betul, tidak kurang juga pihak yang mengisi masa media sosial masing-masing dengan ulasan pada istilah MADANI. Tanpa syak, ia memang melucukan, namun tidaklah sampai ke tahap teruk.

Terlintas juga dalam fikiran bahawa 'kelucuan' itu memang disengajakan.

Ada sesuatu pada cara buku berkenaan diterbitkan, pemilihan kata nama yang secocok dengan jiwa Malaysia dan mudah meniti di bibir-bibir orang.

Tanpa dinafikan, ramai juga yang serius mengupas konsep madani lewat status Facebook masing-masing. Mereka serius, bersemangat dan cekal memberi penjelasan mudah kepada masyarakat terhadap hala tuju baru negara yang dibawa perdana menteri.

Madani menurut Anwar - melalui bukunya, Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi - ialah konsep dan kata kunci yang menjadi keyakinan kerajaan bersama rakyat ke arah mencapat matlamat negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, berkeyakinan tinggi dan bersikap ihsan.

Pada masa yang sama ia juga adalah tunggak kepada konsep madani itu sendiri.

Madani adalah agenda besar. Ia bertepatan (atau hampir sama) dengan konsep wasatiyyah, malah Islam progresif (dengan definisi betul). Cuma wasatiyyah itu jelas kearabannya berbanding madani.

Menurut kamus bahasa Arab, wasatiyyah itu berasal daripada kalimah ‘wasat’ yang bermakna sederhana, adil, tidak melampau, tengah, pusat dan seimbang.

Ilmu langit dan bintang

Jika wasatiyyah digunakan, mungkin masyarakat Malaysia sukar memahaminya lantaran ia memiliki pelbagai maksud. Fokus yang dibawa oleh kerajaan juga akan bersimpang-siur pada akal fikir masyarakat.

Bagi terma Islam progresif pula ia juga sebenarnya tidaklah jauh beza daripada konsep madani. Malah semua istilah dan konsep yang dikaitkan dengan Islam bukanlah mahu menjelmakan ajaran baru selepas Nabi Muhammad SAW.

Ia sekadar menyegarkan semula pemikiran dan perbahasan pada Islam yang asal, juga menonjolkan sisi-sisi yang selama ini terpendam kerana silap faham manusia.

Islam menggalakkan perbahasan. Pada masa yang sama Islam turut menggesa penganutnya sentiasa mencari sesuatu yang baru dan segar pada ruang ilmu, sikap, fikir dan cara selagi ia berasaskan Islam yang asli.

Maka Islam progresif itu adalah usaha membangkitkan semula sifat progresif yang ada pada agama dan ulamanya seperti yang ditunjukkan tokoh silam sepanjang era keemasan umat Islam.

Mana mungkin orang Islam mengetahui ilmu langit dan bintang jika nilai progresif itu tidak wujud dalam kalangan ummah dan cara mereka beragama?

Malangnya melalui naratif tertentu istilah Islam progresif itu dibingkaikan menjadi sesuatu yang menakutkan. Pada ketika tertentu ia kemudian dikaitkan sebagai liberalisme yang kerap kali menceroboh ke 'kawasan larangan'.

Harus bagaimana idea baru atau pengolahan baru untuk kemajuan negara dan rakyat berbilang kaum serta agama di Malaysia ini boleh dipasarkan oleh kerajaan perpaduan pimpinan seorang tokoh Islam sederhana seperti Anwar Ibrahim?

Bagaimana ia harus diacu agar dapat difahami dengan baik oleh seluruh masyarakat supaya tidak terperangkap dengan olahan wasatiyyah dan pada masa sama terbebas daripada salah faham 'Islam baru'?

Itulah persimpangannya.

Di persimpangan itulah kita boleh mencari hikmah di celah-celah istilah MADANI. Rupa-rupanya ada titik pertemuan. 'Kenakalan' pada singkatan itu mungkin disengajakan bagi meringankan kefahaman masyarakat terhadap konsep madani.

Kerana ia sebenarnya adalah sebuah konsep besar yang tafsirannya sangat luas.

Jika mahu Anwar boleh mengambil masa sepanjang tahun untuk menghuraikannnya. Dia boleh berkhutbah di masjid-masjid berbeza untuk menjelaskan konsep tersebut kepada rakyat.

Akhirnya konsep besar itu dikecil dan diringankan daripada sebuah buku kepada istilah 'nakal' yang memudahkan semua orang mengingat, menghayati dan melakukannya.

Kumpulan elit, agamawan, akademik, buruh, pendidik, teknokrat, peniaga, ahli agama Kristian, Budha, Hindu, petani, nelayan, ahli politik dan siapa sahaja tidak akan rasa berat dan sukar untuk faham.

MADANI adalah untuk keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Mengurus hal ehwal rakyat

Ketika bijak pandai menghabiskan masa mengkaji asal-usul idea madani, anak-anak kecil sudah boleh menggunakan koc Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menikmati rahmah dasar itu apabila mereka tidak perlu mengeluarkan satu sen pun untuk ke sekolah.

Apatah lagi orang kurang upaya (OKU) turut mendapat limpahan ihsan daripada konsep madani yang diterjemahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, tanpa perlu bimbang akan persepsi yang tempias kepadanya jika istilah Arab digunakan.

Ketika ahli bahasa menghuraikan madani sama ada berasal dari kalimah “madinah” pilihan ketiga pula dikaitkan dengan maksud tamadun yang sudah menjadi bahasa Melayu sekian lama.

Ia mula dibicarakan di Facebook, khutbah Jumaat seperti di KL baru-baru ini, TikTok, WhatsApp dan premis kerajaan.

Apa lagi selepas ‘akronim’ yang nakal itu? Ia sepatutnya dijadikan agenda penting seluruh anggota kabinet perdana menteri ke-10.

Penghuraiannya mesti terus disambung oleh barisan menteri mengikut kapasiti masing-masing sama ada melalui ucapan - jika berkebolehan - atau melalui pelaksanaan.

Menteri ekonomi misalnya harus meletakkan kesejahteraan masyarakat sebagai objektif utama tatkala menyusun atur elemen dan faktor ke arah ekonomi mampan dan mapan.

Menteri dalam negeri mesti merealisasikan nilai hormat yang tinggi dalam menguruskan masalah keselamatan dan keharmonian rakyat.

Menteri berkaitan undang-undang pula perlulah membiakkan nilai ihsan yang holistik dalam perundangan negara.

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan mesti membina keyakinan diri yang kental dalam kalangan kakitangan agar mereka mampu bekerja menjaga kepentingan negara dan rakyat pada jangka masa yang panjang.

Sumber makanan dan sumber pendapatan rakyat berasas pertanian mesti beroleh nilai mampan yang kukuh. Tidak boleh ada ruang untuk kompromi.

Begitulah antara contoh-contoh yang sempat difikirkan untuk mengakhiri coretan ringkas ini. Tanpa madani, mungkin perdana menteri harus memberi anggota kabinetnya markah tidak penuh.

Tanpa bersusah payah menghuraikan maksud wasatiyyah dan mencetuskan nilai progresif yang betul dalam masyarakat, kerajaan perpaduan tetap menjadikan asas-asas negara Madinah dan prinsip wasatiyyah dalam konsep madani untuk visi dan kerangka dasar reformasi.

Jangan dibiarkan perdana menteri seorang saja menghurai, mengupas dan kita hanya leka setakat ‘akronim’ MADANI sambil mencari siapakah pencetus terawal istilah madani di negara ini.

Seluruh anggota kabinet, ilmuwan, pensyarah di universiti, ulama di pusat pengajian tinggi dan pondok-pondok serta seluruh pegawai tadbir dan diplomatik yang merupakan nukleus pengurusan negara mesti berperanan di tempat masing-masing.

Bangunkan Malaysia Madani untuk kesejahteraan semua bertepatan konsep asas agama ini yang menjadi payung rahmah ke seluruh alam.


ABU ILYAS ialah pemerhati politik dan pembaca setia Malaysiakini yang percaya negara ini akan kembali bangkit jika kerajaan perpaduan diberi peluang mentadbir selama satu penggal penuh. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen