malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemaju perlu dapat kelulusan EIA sebelum tebang Hutan Simpan - Saarani
Diterbitkan:  Jan 25, 2023 10:42 AM
Dikemaskini: 10:42 AM
ADS

Mana-mana pemaju perlu mendapatkan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) sebelum boleh meneruskan projek berkaitan pembalakan atau pembangunan ladang hutan di Perak termasuk di Hutan Simpan Klebang Saiong, Kuala Kangsar.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri hanya menyediakan tapak projek sahaja namun sebarang projek perlu mendapat kelulusan EIA kerana itu adalah peraturan yang ditetapkan.

“Sebelum ini kementerian yang berkaitan meluluskan kira-kira 100,000 hektar kawasan untuk membangunkan projek ladang hutan sebelum Jawatankuasa Hutan Negeri kurangkan kepada 32,000 hektar dan terbaharu 6,000 hektar pada September lepas.

“Beberapa syarikat diberi kebenaran untuk menjayakan projek ladang hutan tersebut iaitu mengeluarkan kayu tetapi kena tanam semula pokok hutan dan tidak boleh tebang sekali gus atau sewenang-wenangnya secara meluas kerana ia akan menyebabkan banjir.

“Jadi pengusaha (pemaju) yang diberi tangggungjawab, wajib patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kementerian. Kemudian selepas itu EIA yang akan nilai dan luluskan nanti, kita (kerajaan negeri) cuma luluskan cadangan tempat,” katanya kepada pemberita selepas program sambutan Tahun Baharu Cina di Ipoh hari ini.

Dilapor, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj dalam ciapannya di Twitter baru-baru ini mendakwa kerajaan Perak telah merancang untuk membangunkan tanah hutan di Klebang Saiong kepada ladang balak melalui beberapa syarikat yang telah dilantik.

Menurut Saarani, projek itu dipantau Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan malah orang ramai juga boleh memberikan pandangan melalui sesi pendengaran terbuka.

- Bernama

Lihat Komen