malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
OPR boleh kekal pada kadar 2.75 peratus - Rafizi
Diterbitkan:  Jan 25, 2023 10:29 AM
Dikemaskini: 10:29 AM
ADS

Kadar dasar semalaman (OPR) boleh terus kekal pada paras 2.75 peratus sekiranya kadar inflasi di negara ini terus mereda pada bulan-bulan akan datang, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata kadar inflasi pada Disember 2022 mereda kepada 3.8 peratus berbanding 4.0 peratus pada November 2022 seperti yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat lepas.

Rafizi berkata antara faktor yang memacu inflasi di pasaran tempatan, sebahagian besarnya disumbangkan oleh harga makanan.

"Jika OPR pada paras 2.75 peratus dan kadar inflasi terus mereda pada Januari dan Februari ini, itu akan menunjukkan OPR boleh kekal pada 2.75 peratus," katanya pada sidang media di sini hari ini bagi mengulas mengenai hubung kait antara kenaikan OPR dalam menangani kenaikan inflasi.

Secara teorinya, kata beliau Bank Negara (BNM) akan menggunakan dasar monetari iaitu menerusi OPR untuk mengekang tekanan kenaikan inflasi di pasaran tempatan.

“Apabila inflasi meningkat lebih cepat, kemudiannya anda mahu mengehadkan permintaan, jadi caranya adalah dengan menaikkan OPR.

“Perkara ini memerlukan banyak usaha. Kita masih boleh mengurangkan inflasi di samping mengekalkan OPR. Sekiranya kita lebih peka dengan harga, kita diharap boleh mengekalkan OPR pada paras semasa yang dimahukan rakyat,” katanya.

Pada 19 Januari lepas, BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut.

Kenaikan OPR empat kali berturut-turut sejak tahun lepas bermula Mei, Julai, September dan November dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Rafizi berkata kadar inflasi di negara ini dilihat semakin reda dan ia memberi petanda baik dalam usaha mengawalnya untuk kembali ke paras normal sebelum ini iaitu sekitar lebih dua peratus.

Menurutnya kadar inflasi pada tahun lepas dilihat memuncak pada Ogos dan September dengan masing-masing berada pada paras 4.7 peratus dan 4.5 peratus.

"Graf dilihat menurun dan itu satu petanda baik. Kita berharap ia akan beransur ke paras inflasi yang lebih normal iaitu paras sebelumnya sekitar lebih dua peratus," katanya.

- Bernama

Lihat Komen