malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saman Anwar: Mahkamah arah MP PAS failkan pembelaan selewatnya 6 Feb
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memberi masa kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim sehingga 6 Feb untuk memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Peguam Anwar, Sankara Nair hari ini mengesahkan ini adalah keputusan susulan pengurusan kes tindakan sivil itu.

“Mahkamah mengarahkan defendan memfailkan pembelaan selewat-lewatnya pada 6 Feb, dengan pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada tarikh yang sama melalui e-semakan di hadapan timbalan pendaftar untuk kemas kini status dan arahan lanjut,” kata peguam itu kepada media.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin, manakala peguam Saiffuddin Othman mewakili Ahmad Amzad.

Pada 22 Dis, tahun lepas, Anwar memfailkan saman sivil berhubung kenyataan Ahmad Amzad yang mendakwa Anwar berbohong apabila mengatakan dia memperoleh gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor.

Dalam pernyataan tuntutan Anwar, dia berkata Ahmad Amzad telah membuat beberapa kenyataan kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran sebelum ini pada 7 Dis.

Plaintif mendakwa kenyataan ahli parlimen PAS itu diterbitkan semula di TikTok oleh pengguna dengan nama @nelly3868 pada hari yang sama dan menerima lebih 4,980 tontonan, 62 komen, 116 tanda suka, 18 tanda kegemaran dan 50 perkongsian.

Dalam video itu, Amzad didakwa menggambarkan bahawa walaupun mungkin benar Anwar dibayar simbolik RM1 setahun semasa menjadi penasihat ekonomi Selangor, namun Anwar mempunyai RM15 juta tuntutan.

Amzad juga didakwa mengulas mengenai pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar pada 2018 atas tiga sabitan kesalahan - satu kerana salah guna kuasa dan dua kerana liwat.

Dakwaan bahawa Anwar menerima RM15 juta untuk berkhidmat sebagai penasihat ekonomi Selangor sebelum ini dibuat oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin semasa Ceramah Grand Final PN pada 5 Dis, menjelang pilihan raya Padang Serai.

Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan dakwaan menuduh Anwar menerima RM15 juta untuk berkhidmat sebagai penasihat ekonomi negeri, sambil menambah bahawa Anwar hanya dibayar simbolik RM1 sebulan semasa bertugas.

Anwar pada 8 Dis telah menghantar surat tuntutan kepada Ahmad Amzad berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah dan dia dituntut membuat permohonan maaf.

Dalam pernyataan tuntutan Anwar, dia antara lain menegaskan bahawa kenyataan Ahmad Amzad itu mengandungi perkataan fitnah yang berunsur fitnah, palsu dan memperlekeh.

Plaintif mendakwa kenyataan defendan membawa maksud Anwar tidak boleh dipercayai dan tidak jujur menerima jutaan ringgit daripada kerajaan Selangor semasa memegang jawatan negeri serta memperdaya orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1 sebagai seorang penasihat ekonomi.

Melalui tindakan sivil itu, Anwar menuntut ganti rugi am, pampasan teruk dan teladan, dan injunksi untuk menghalang defendan daripada terus melafazkan atau menyiarkan dakwaan itu.

Plaintif sedang menuntut faedah lima peratus ke atas jumlah penghakiman dari tarikh tindakan terakru sehingga tarikh penyelesaian penuh.

Dia juga menuntut kos dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Lihat Komen