malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi pertahan gesaan rakyat guna kuasa pasaran turunkan harga
ADS

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mempertahankan gesaannya agar pengguna menggunakan kuasa pasaran untuk menurunkan harga makanan dan minuman di restoran dan kedai makan.

Rafizi berkata data menunjukkan harga yang dikenakan peniaga makanan, terutama restoran dan hotel, terus meningkat walaupun kos bahan mentah di pasaran telah stabil.

Katanya, sudah menjadi tugasnya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam soal ekonomi untuk memastikan apabila kos dan bekalan bahan mentah sudah kembali kepada normal dan kadar inflasi menurun, pengguna dapat merasai manfaatnya.

"Kalau kerajaan sudah guna sumber dan campur tangan untuk stabilkan harga, harga sudah menyederhana atau turun lebih murah berbanding sebelum kenaikan, kita juga nak pastikan harga yang dikenakan kepada rakyat juga turun secara berkadar.

“Setakat ini, data menunjukkan perkara ini tidak berlaku,” katanya pada sidang media di Putrajaya petang ini.

Sidang media itu diadakan untuk mengumumkan Indeks Harga Pengguna untuk 2022.

Rafizi berkata kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM2 bilion untuk mengawal harga ayam dan telur tahun lepas, tetapi walaupun telah membelanjakan berbilion-bilion, harga yang dikenakan kepada pengguna untuk makanan yang disediakan tidak berubah dengan sewajarnya.

Menurutnya, negara mencatatkan kadar inflasi 3.3 peratus tahun lalu, lebih tinggi daripada 2 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.

Kenaikan harga makanan dan minuman terutamanya di restoran dan hotel dikenal pasti sebagai penyumbang utama inflasi.

“Walaupun semua komponen lain dalam Indeks Harga Pengguna menurun secara menyederhana, harga makanan dan minuman (dijual peruncit) telah meningkat lebih tinggi.

“Apabila kos bahan mentah meningkat dua peratus, kenaikan harga di restoran, hotel dan lain-lain (peruncit makanan) meningkat sebanyak 7 peratus. Lebih tiga kali ganda kenaikan barangan mentah.

"Walaupun ini bukan perkara yang popular untuk saya perkatakan, tetapi menjadi tanggungjawab saya untuk berbuat demikian, kerana kita perlu memastikan rakyat tidak dibebani dengan harga tinggi secara berterusan," katanya.

Rafizi memberitahu pemberita bahawa penguatkuasaan harga siling bukan satu-satunya cara untuk menurunkan harga pasaran, dan rakyat sebagai pengguna juga boleh memainkan peranan mereka dengan kuasa memilih.

Katanya, ia akan mewujudkan persaingan sihat di kalangan peruncit dan pengguna akan mendapat nilai terbaik untuk apa yang mereka bayar.

Dia memberi contoh minuman Milo panas, mengatakan bahawa beberapa kedai akan mengenakan bayaran RM2.50 secawan dan pengguna sudah menerimanya sebagai harga biasa.

Ini, tegasnya, yang menyebabkan peruncit mengekalkan harga pada tahap itu walaupun terdapat perubahan dalam margin kos mereka.

"Apabila kita mempunyai kesedaran harga, maka kita akan lebih selektif dalam tingkah laku pengguna kita. Dan ini adalah salah satu komponen dalam mekanisme kawalan harga.

"Mengawal harga bukan sahaja untuk menguatkuasakan harga siling. Kesedaran harga juga merupakan salah satu daripadanya. Ia adalah cara peruncit akan bertindak balas."

Sementara itu, ditanya mengenai isu inflasi dan kos sara hidup yang dipolitikkan, Rafizi berkata dia tidak melihatnya sebagai isu politik.

Dia berkata terpulang kepada pembangkang atau sesiapa sahaja jika mereka mahu menjadikan isu itu sebagai politik, kerana dia yakin rakyat lebih tahu.

“Rakyat lebih bijak hari ini, mereka tahu semua angka dan mereka boleh bandingkan.

"Inilah sebabnya kami terus berusaha untuk menangani kos sara hidup dan pada masa yang sama berkomunikasi dengan rakyat, supaya mereka tahu bahawa kami sedang mencuba yang terbaik," katanya.

Lihat Komen