malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Banjir: Lima jalan terputus hubungan di Kudat
Diterbitkan:  Jan 25, 2023 6:27 AM
Dikemaskini: 6:27 AM
ADS

Lima jalan di daerah Kudat terputus hubungan dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan akibat bencana banjir hari ini.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan di Kota Kinabalu, jalan terlibat ialah Jalan Abdul Rahim, Jalan Sebayan, Jalan Datu, Jalan Bak Bak, dan Jalan Lo Thein Chok.

“Banjir berlaku akibat hujan lebat berterusan, Traffic Management Plan telah dipasang di jalan terlibat dan pemantauan berterusan sedang dilakukan ketika ini,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Jalan Mongkubau Laut di daerah Pitas juga terputus hubungan akibat jambatan dan laluan sementara, yang dibina kerana jambatan asal sedang dinaik taraf bermula sekitar akhir tahun lepas, runtuh berikutan hujan lebat berterusan.

“Pengguna jalan raya boleh melalui jalan alternatif di Kampung Mantaya-Kampung Bawing-Kampung Liu, dan kemudian keluar ke jalan Kampung Kandang-Kampung Telaga-Kampung Ungkup,” kata kenyataan itu.

Menurut JKR Sabah, Jalan Liu Malubang di daerah sama hanya boleh dilalui kenderaan berat.

“Beberapa jalan di daerah Kota Marudu turut dinaiki air banjir antaranya Jalan Bandau dan Jalan Longkon tetapi masih boleh dilalui semua jenis kenderaan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen