malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pensyarah USM terima anugerah AS untuk bidang perubatan obesiti
Diterbitkan:  Jan 19, 2023 12:24 PM
Dikemaskini: 9:22 AM
ADS

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Teoh Soo Huat telah menerima Anugerah Dr Peter G Linder daripada Persatuan Perubatan Obesiti (OMA) di Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan hari ini, USM berkata Teoh adalah satu-satunya penerima luar dari Amerika Syarikat yang mengiktiraf sumbangan pakar perubatan dalam bidang obesiti.

"Anugerah ini menjadi motivasi untuk saya terus memainkan peranan dalam bidang ini di Malaysia,” kata Teoh, yang adalah seorang pensyarah  di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam Universiti Sains Malaysia (USM),di Pulau Pinang.

“Saya berharap dapat membangunkan bidang ini melalui khidmat klinikal yang berkualiti dan melatih doktor-doktor yang berminat. Ini adalah penghargaan saya kepada negara dan USM atas sokongan yang diberikan untuk saya ceburi bidang ini," katanya.

Katanya, dia berhasrat membantu masyarakat Malaysia dalam menghadapi penyakit obesiti yang sangat serius di Malaysia melalui rawatan berdasarkan bukti.

"Kami menawarkan perkhidmatan rawatan kepada pesakit-pesakit obesiti seperti panduan gaya hidup sihat, nasihat perubahan tingkah laku, ubatan anti-obesiti dan perbincangan pembedahan bariatrik. 

“Data pesakit-pesakit yang diperoleh juga dapat merangsang kerja-kerja penyelidikan untuk penambahbaikan rawatan-rawatan dan taraf perkhidmatan dalam bidang ini seiring dengan fungsi universiti sebagai menara ilmu," tambah Teoh.

Teoh anak kelahiran Jelutong, Pulau Pinang telah hampir 12 tahun terlibat dalam bidang perubatan obesiti,  yang mana tujuh tahun bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum berkhidmat di USM. 

Di bawah tajaan USM dan Kementerian Pengajian Tinggi, Teoh telah menjalani latihan subkepakaran perubatan obesiti di Ottawa, Kanada pada tahun 2022. Dia juga dapat pengiktirafan sebagai felo kebangsaan Pertubuhan Obesiti Sedunia (World Obesity Federation) pada tahun 2020.

OMA adalah persatuan doktor perubatan terbesar yang dianggotai oleh mereka yang terlibat dalam bidang perubatan obesiti termasuk jururawat dan pembantu perubatan dalam meningkatkan kualiti kesihatan awam yang terkesan dengan obesiti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen