malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Cadangan versi BM Perlembagaan jadi rujukan muktamad bukan kuasa AGC saja'
Diterbitkan:  Jan 17, 2023 4:52 PM
Dikemaskini: 8:52 AM
ADS

Pengerusi Eksekutif Yayasan Wisdom, Wilfred Madius Tangau mahu Jabatan Peguam Negara (AGC) menggunakan pendekatan demokratik dan perundingan jika ingin memulakan transformasi supaya edisi Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan dijadikan sebagai versi muktamad (authoritative) bagi undang-undang tertinggi di Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia memberi amaran bahawa jika ini tidak ditangani dengan betul, proses terjemahan itu boleh menimbulkan peningkatan ketegangan dalam hubungan persekutuan-negeri dan mengancam hak asasi dan asas kebebasan.

“Kami mengiktiraf hasrat untuk perubahan ini kerana pada dasarnya adalah wajar undang-undang tertinggi negara kita adalah dalam bahasa kebangsaan.

Wilfred Madius Tangau, Pengerusi Eksekutif Yayasan Wisdom

“Ini membolehkan majoriti rakyat Malaysia, yang bahasa pertama mereka adalah Bahasa Malaysia, untuk lebih memahami hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Namun begitu, perubahan yang dicadangkan ini menimbulkan kebimbangan mendalam terutama di Sabah dan Sarawak kerana edisi terjemahan Bahasa Malaysia belum dibentangkan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak serta masih lagi tertakluk kepada perbahasan dan penelitian,” kata Madius dalam satu kenyataan hari ini.

Madius, yang adalah bekas menteri sains, teknologi dan inovasi serta ahli parlimen selama lima penggal bagi Tuaran, menambah bahawa bahasa Melayu masih dalam proses berkembang bagi mencapai istilah undang-undang lebih baik untuk membawa nuansa dan makna sama seperti dalam bahasa Inggeris.

“Bahasa Inggeris digunakan secara rasmi untuk membentuk Perlembagaan Persekutuan 1957 dan dalam menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kerana kerajaan British turut terlibat dalam prosiding ini.

"Adalah penting untuk mengakui bahawa bahasa berkembang dari semasa ke semasa; bahasa Inggeris yang digunakan dalam tempoh itu mempunyai nuansa dan niat yang dibuat khusus untuk konteks masa tertentu itu.

"Oleh itu, pertukaran pra-matang teks berautoriti kepada Bahasa Malaysia akan gagal menggambarkan hasrat sebenar Perlembagaan Persekutuan 1957/1963 dan MA63," tambahnya.

Idrus Harun, Peguam Negara

Minggu lalu, Peguam Negara Idrus Harun mencadangkan Peguam Negara Idrus Harun supaya Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Melayu dijadikan sebagai versi muktamad (authoritative) bagi undang-undang tertinggi di Malaysia.

Dia membuat cadangan itu ketika Pembukaan Tahun Undang-undang 2023.

Mengulas saranan Idrus, Madius berkata peguam negara itu tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa jika ia diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan dan diserahkan kepada yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka boleh menentukan jika teks bahasa kebangsaan adalah versi yang muktamad.

“Sesuatu terjemahan perlu mencerminkan hak semua rakyat Malaysia dalam konteks yang betul dan menjunjung semangat asal dan nuansa yang betul yang dimaksudkan seperti semasa pembentukan Perlembagaan Persekutuan 1957/1963.

"Perlu juga diingat bahawa undang-undang tertinggi kita juga membenarkan rujukan kepada undang-undang di UK jika terdapat kekurangan atau apa-apa yang ketinggalan dalam statut.

"Terdapat juga undang-undang lain, yang versi bahasa Inggeris masih dirujuk apabila terdapat percanggahan," katanya.

Madius menambah bahawa adalah satu kesilapan besar untuk menganggap projek transformatif ini sebagai kerja terjemahan mudah bahasa Inggeris pertengahan abad ke-20 kepada Bahasa Malaysia moden.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen