malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sistem isytihar harta sebelum ini 'lawak' - PM
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memperhalusi sistem pengisytiharan harta untuk pegawai tertinggi kerajaan.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya hari ini, Anwar menyifatkan sistem iystiha harta sebelum ini sebagai "lawak" dan tidak menggambarkan kekayaan sebenar mereka yang berbuat demikian.

“Anda puas hati, rakyat puas hati, masyarakat awam puas hati tetapi ia sebenarnya tidak menggambarkan kekayaan sebenar.

“Biarlah kita melalui proses itu semula supaya apa sahaja yang mereka buat lebih bertanggungjawab dan telus bukannya gimik politik,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada dia telah menerima pengisytiharan harta daripada anggota kabinet dan jika ya, apakah ia akan didedahkan kepada umum.

Pakatan Harapan sebelum ini berjanji semua ahli parlimen, penjawat awam kanan, pengerusi GLC, serta semua pasangan dan ahli keluarga terdekat mereka yang berumur 18 tahun ke atas, perlu mengisytiharkan harta mereka.

Gabungan itu bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada pengisytiharan harta perlu didedahkan kepada umum atau tidak.

Sesetengah calon PKR mengisytiharkan harta mereka sebelum pilihan raya pada 19 Nov.

Anwar, yang merupakan presiden PKR, adalah antara calon PKR yang mengisytiharkan harta mereka.

Anwar berkata dia sedang berbincang dengan pelbagai agensi termasuk SPRM untuk menjadikan pengisytiharan aset lebih telus.

“Pengisytiharan harta satu sandiwara dahulu kerana orang boleh ada ratusan juta tetapi isytihar RM11 atau RM12 juta.

"Kita mesti pastikan parameternya jelas. Saya sedang berbincang dengan pelbagai agensi, termasuk SPRM untuk menjadikannya (proses) telus," kata Anwar.

Pada 2018, pentadbiran Dr Mahathir Mohamad mewajibkan semua ahli parlimen kerajaan mengisytiharkan harta mereka dan ia diterbitkan di laman web SPRM.

Dua perdana menteri seterusnya bagaimanapun tidak meletakkan syarat sedemikian.

Lihat Komen