malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRN: BN S'gor optimis kerjasama dengan PH, MCA tegas tuntut kerusi
ADS

BN Selangor optimis berhubung kemungkinan memeterai kerjasama pilihan raya dengan PH untuk PRN yang akan diadakan tahun ini.

Pada masa sama, MCA Selangor bertegas bahawa parti itu tidak dipinggirkan dalam kerjasama itu.

Pengerusi BN Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata dia telah mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan Menteri Besar Amirudin Shari dan kedua-duanya setuju untuk berbincang dengan lebih lanjut.

"Ia bukan mesyuarat, sangat kasual. Kami berjumpa beberapa kali, (termasuk) di stadium ketika perlawanan bola antara Malaysia dan Singapura, kami duduk dan bincang ketika rehat separuh masa.

"Saya rasa kami ada hubungan yang baik dan kami setuju untuk berbincang tentang kerjasama secara serius," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Megat Zulkarnain

Dia berkata ia selaras dengan mandat yang diberikan oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, iaitu untuk semua pengerusi BN negeri berunding dengan PH negeri berhubung PRN.

Pada 11 Januari lalu, Amirudin berkata bentuk kerjasama antara PH dan BN dalam PRN dijangka akan diputuskan paling lewat hujung bulan ini.

Bagaimanapun Megat memaklumkan setakat ini, soal pengagihan kerusi belum dibincangkan.

"Kami belum bincang perincian, seperti jumlah kerusi, di mana dan siapa akan bertanding," katanya.

Sebelum ini, pemimpin Amanah Selangor Sany Hamzan berkata PH akan mempertahankan kesemua 40 kerusi DUN yang dimenanginya dalam PRU lalu.

Menurut laporan FMT, Sany berkata dia difahamkan bahawa PH tidak akan memberi laluan kepada BN di kawasan tersebut.

Mengulas perkara itu, Megat berkata dia menghormati pandangan Sany namun menegaskan ia masih terbuka untuk dibincangkan.

"Semua ada hak untuk suarakan pandangan tetapi ia tertakluk kepada apa yang akan dipersetujui nanti.

"Masih terlalu awal untuk kita keluarkan kenyataan kerana kita belum berbincang," katanya lagi, yang menjelaskan isu rundingan kerusi perlu dilihat dari sudut yang lebih besar dan bukan hanya berdasarkan PRU lalu.

Sany Hamzan

Setiap kerusi perlu dinilai antaranya berdasarkan faktor pencapaian dan tahap sokongan, katanya lagi.

Namun Sany bukan satu-satunya pemimpin PH Selangor yang keberatan untuk memberi laluan.

Timbalan Pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah berkata partinya tetap ingin bertanding di kesemua kerusi yang dimenanginya dalam PRU 2018.

"Kami akan pertahankan kerusi kami," katanya kepada Malaysiakini.

PH menang 51 kerusi DUN dalam PRU 2018. Namun enam daripadanya dimenangi Bersatu.

Kerusi DUN Semenyih yang disandang Bersatu kemudian dirampas BN dalam PRK 2019 - menjadikan parti itu hanya memiliki lima kerusi.

Kerusi PH terus menurun kepada 40 setelah Langkah Sheraton, dengan wakil rakyat Bersatu sama ada keluar dari gabungan atau menyertai Pejuang. PKR dan DAP pula hilang tiga kerusi selepas wakil rakyat mereka melompat ke Bersatu, Parti Bangsa Malaysia dan Warisan.

Terdapat 56 kerusi DUN di Selangor. Jika PH bertegas ingin bertanding di 40 kerusi yang dipegang, bermakna ada 16 kerusi DUN untuk ditandingi BN.

Terdapat spekulasi bahawa BN menyasarkan 18 kerusi. Sementara itu, parti komponennya MCA dan MIC - yang kalah semua 14 kerusi ditandingi pada 2018 - juga ingin bertanding.

Ng Chok Sin

"Kami difahamkan kepimpinan BN negeri meminta untuk bertanding di sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi," kata Pengerusi MCA Selangor Ng Chok Sin.

Ng juga berkata MCA tidak akan berpuas hati jika parti itu tidak diberikan kerusi langsung di Selangor.

"Namun, saya tak fikir MCA tidak akan diberi kerusi langsung," katanya.

Jika perkara itu berlaku, Ng berkata MCA telah memberi penerangan kepada akar umbi parti berkenaan pelbagai kemungkinan, termasuk untuk bertanding secara sendiri.

Justeru, katanya lagi, amat mustahak untuk BN bertegas dalam soal rundingan kerusi.

"Jika anda (PH) nak kerajaan perpaduan, tetapi enggan beri laluan (kepada BN), maka kami perlu bergerak secara solo dan ini mungkin memberi kesan kepada kerjasama di peringkat kerajaan persekutuan," katanya.

Bagaimanapun dia berkata MCA Selangor akan akur kepada sebarang keputusan yang ditetapkan kepimpinan tertinggi parti.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen