Tiga persatuan menyarankan harga RM7,890 dijadikan sebagai rujukan wajar untuk pakej umrah melibatkan penginapan pada jarak lebih kurang 300 meter.
Saranan itu dibuat oleh Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh).
“Harga ini boleh dijadikan sebagai rujukan oleh orang ramai dalam membuat pilihan pakej umrah yang bersesuaian dengan kemampuan.
“Harga ini berkemungkinan akan lebih tinggi atau lebih rendah bergantung kepada lokasi hotel, tempoh tempahan, musim perayaan dan sebagainya,” katanya.
Saranan itu dikemuka setelah ketiga-tiga badan itu mengadakan perbincangan dan memperhalusi faktor-faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga bagi membantu jemaah umrah dan pengusaha pelancongan mengurus dan membuat pilihan pakej.
Memetik Presiden Papuh Razali Mohd Sham, Utusan Malaysia pada 10 Januari berkata kos umrah meningkat drastik susulan kenaikan harga tiket penerbangan, visa serta kos penginapan hotel.
Kos-kos itu dilaporkan naik dari 60 ke 400 peratus, seperti berikut:
Tiket pesawat naik dari RM2,800 kepada RM4,800
Kos visa naik dari RM120 hingga RM130 (sebelum perintah kawalan pergerakan atau PKP) kepada RM600 lebih hingga RM700
Kos hotel dalam radius 500 meter dari Masjidil Haram naik dari 120 riyal semalam (untuk empat orang sebilik) kepada 300 riyal
Hotel kelas tinggi naik dari 400 hingga 450 riyal kepada 1,200 riyal hingga 1,600 riyal
Sementara itu, jemaah umrah juga dinasihatkan supaya membuat pengesahan awal terhadap pakej yang ditawarkan dan memastikan syarikat yang dipilih merupakan pengendali umrah berlesen bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
Senarai syarikat pelancongan umrah berlesen boleh disemak di laman web rasmi Motac https://www.motac.gov.my/semakan/umrah.

