malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saranan perlembagaan versi BM jadi rujukan timbulkan kebimbangan
Diterbitkan:  Jan 10, 2023 3:17 PM
Dikemaskini: 10:05 AM
ADS

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) meluahkan kembimbangan dengan cadangan Peguam Negara Idrus Harun untuk menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Melayu sebagai versi muktamad (authoritative) bagi undang-undang tertinggi di Malaysia.

MCCBCHST berkata ini boleh memberi kesan bagi kes yang membabitkan seorang ibu bapa menukarkan anak atau anak mereka kepada agama lain.

Memetik kes M Indira Gandhi sebagai contoh, MCCBCHST berkata Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa dalam Perkara 12(4), perkataan "ibu bapa" harus dirujuk sebagai perkataan jamak iaitu “ibu dan  bapa”.

Gambar Hiasan - Indira Gandhi dengan anak-anaknya

“Tetapi terjemahan BM Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: 'Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di-bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya. 

“Sekiranya versi BM dijadikan teks yang muktamad, maka ia akan mempunyai kesan dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi kerana ia bermakna 'seorang ibu atau bapa boleh menukar agama seseorang di bawah umur perkahwinan, sekali gus mengubah Perlembagaan Persekutuan melalui proses terjemahan',” kata MCCBCHST dalam kenyataan.

Oleh itu, MCCBCHST berkata versi asal, yang dalam bahasa Inggeris, harus kekal sebagai versi muktamad.

“Terjemahan boleh dibuat tetapi versi asal mesti kekal sebagai versi yang muktamad. Ini kerana jika terjemahan itu cacat, ia boleh diperbetulkan dengan merujuk kepada versi asal,” tambahnya.

Idrus Harun, Peguam Negara

Berucap pada Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 semalam, Idrus berkata perlembagaan  bertindak sebagai asas dalam melaksanakan pengasingan kuasa antara eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman.

“Oleh itu, bagi tahun 2023, menurut Perkara 160A Perlembagaan Persekutuan, AGC bercadang untuk mencetak semula Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan pindaan perlembagaan bersejarah terkini.

"AGC juga bercadang untuk mencadangkan kepada kerajaan supaya preskripsi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan menjadi teks rasmi selaras dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.

“Kedua-dua rancangan ini tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong,” kata Idrus.

Perkara 160A menyatakan:

"Pihak berkuasa yang dilantik di bawah undang-undang persekutuan bagi maksud menyemak undang-undang boleh, dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong, membenarkan percetakan salinan perlembagaan ini, termasuk segala pindaan yang berkuat kuasa padaa tarikh kebenaran itu; dan di mana-mana salinan perlembagaan ini yang dicetak sedemikian hendaklah disifatkan bagi segala maksud sebagai salinan yang benar dan betul bagi Perlembagaan Persekutuan.”

Perkara 160B pula menyebut:

"Jika perlembagaan ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks sahih, dan selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan itu dengan teks bahasa Inggeris perlembagaan ini, teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris itu.”

Bagaimanapun, MCCBCHST berhujah bahawa pindaan untuk menambah Perkara 160B kepada perlembagaan adalah tidak sah kerana ia bertujuan untuk membuat versi terjemahan mengatasi teks asal.

“MCCBCHST menggesa Perkara 160B dipinda. Perkataan dalam penghujung Perkara 160B, iaitu “jika terdapat apa-apa percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa Melayu dengan teks Bahasa Inggeris Perlembagaan, maka teks bahasa kebangsaan hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris” hendaklah dipadamkan.

“Sebaliknya, perkataan berikut perlu ditambah: ‘Teks asal Perlembagaan Persekutuan hendaklah kekal sebagai teks yang muktamad,” tambahnya.

Gambar Hiasan - Indira Gandhi

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak kepada Indira Gandhi, seorang ibu yang beragama Hindu yang mengheret bekas suaminya ke mahkamah selepas dia mengislamkan tiga anak mereka tanpa pengetahuan atau persetujuannya.

Keputusan itu dianggap sebagai bersejarah kerana ia menegaskan semula peranan perlembagaan mahkamah sivil, dan mengisytiharkan penukaran agama secara sepihak atau unilateral adalah menyalahi undang-undang.

Pada April tahun lalu, mahkamah persekutuan memetik duluan yang ditetapkan dalam kes Indira Gandhi apabila ia menafikan permohonan seorang ibu beragama Buddha yang memeluk Islam yang memohon kebenaran untuk mengekalkan penukaran agama secara unilateral oleh dua anaknya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen