malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jay Chou sedia tangguh konsert jika dibenarkan pengurus stadium
Diterbitkan:  Jan 6, 2023 9:49 PM
Dikemaskini: Jan 7, 2023 4:54 AM
ADS

Artis Taiwan, Jay Chou berkata dia bersedia untuk menangguhkan konsertnya yang dijadualkan pada 15 Jan, tetapi peminat bola sepak harus menghubungi persatuan sukan dan pengurusan stadium mengenai perkara itu.

Ini berlaku selepas ramai peminat bola sepak yang marah menyampaikan pandangan mereka di akaun media sosial penyanyi itu, berikutan penjadualan antara persiapan untuk konsertnya bertembung dengan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Asean (AFF) 2022.

“Peminat bola sepak Malaysia, saya tahu anda memandang serius bola sepak. Saya boleh bekerjasama dan menangguhkan konsert, tiada masalah.

"Tetapi yang penting anda harus sampaikan kepada persatuan bola sepak atau penganjur tempat anda sama ada mereka membenarkan saya menangguhkan konsert.

“Saya tiada masalah dengan itu, saya cuma mahu menyanyi untuk peminat saya. Cuma saya harap apabila orang datang melihat konsert saya, mereka datang dengan hati yang gembira,” katanya di akaun Instagramnya.

Pertembungan pasukan bola sepak Malaysia dan Thailand dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil esok, tetapi 21,000 tempat duduk di stadium itu perlu dikosongkan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pemasangan pentas konsert Chou.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata penganjur konsert telah pun menempah stadium itu empat tahun lalu, dan keadaan di stadium itu mustahil untuk diubah.

Lebih-lebih lagi, kesulitan sama akan berulang jika Malaysia mara ke peringkat akhir, yang dijadualkan berlangsung pada 16 Jan.

Dalam perkembangan berkaitan, Yeoh mengumumkan 14 lokasi di seluruh negara di mana skrin besar akan disediakan untuk peminat bola sepak menonton perlawanan itu.

Ini termasuk Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, Laman MBPJ di Petaling Jaya, Dewan Bandaraya Kuantan di Pahang, dan Mydin Petrajaya di Sarawak.

Yeoh juga menjawab kenyataan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk menggunakan kuasa menteri untuk membetulkan keadaan.

"Kuasa kementerian tidak boleh disalahgunakan," katanya kepada bekas timbalan menteri belia dan sukan itu.

Mengenai cadangan Wan Fayhsal untuk menggunakan tempat lain seperti Arena Axiata untuk mengadakan acara bukan sukan, Yeoh menegaskan bahawa 45,000 tiket telah dijual untuk konsert Chou. Sebaliknya, Axiata Arena mempunyai kapasiti hanya 13,000 penonton.

"Jika anda ingin membuat kenyataan politik, anda perlu menyemak fakta anda terlebih dahulu," katanya.

Lihat Komen