malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
4 lelaki didakwa rogol, cabul kanak-kanak bawah umur
Diterbitkan:  Jan 6, 2023 4:25 PM
Dikemaskini: 9:21 AM
ADS

Empat lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen Temerloh, di Pahang, hari ini kerana didakwa merogol dan mencabul seorang kanak-kanak bawah umur.

Tertuduh, Mohd Abdul Hafis Endut, 37; Ahmad Ridzuan Ismail, 41; Mohd Ismail Burhan, 42 dan Kamaruzaman Basir, 57 didakwa melakukan kesalahan itu di Felda Purun, dekat Bera, antara April hingga September tahun lalu.

Abdul Hafis berdepan tiga pertuduhan dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Ahmad Ridzuan pula berdepan dua pertuduhan dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan.

Seorang lagi tertuduh, Mohd Ismail berdepan tiga pertuduhan dan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Seksyen 377C dan Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Manakala tertuduh keempat, Kamaruzaman berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa pada 18 September tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Afidatul Azwa Kamarul Anuar dan Faizah Khalilah Zaberi.

Kamaruzaman diwakili peguambela Aida Rahayu Abd Rahman manakala tiga lagi tertuduh diwakili Mazura Ismail.

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas proses pertuduhan selesai dilakukan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mereka dibenarkan ikat jamin antara RM6,000 hingga RM10,000 dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sepasang suami isteri turut didakwa

Berhubung kes sama, sepasang suami isteri turut didakwa atas tuduhan memperdagangkan kanak-kanak bawah umur untuk eksploitasi seks.

Tertuduh, Mohd Rizal Hamzah, 38, dan Intan Wahidah Mohd Nor, 47, didakwa melakukan kesalahan itu antara bulan Mei hingga September tahun lalu di Felda Purun, dekat Bera.

Mohd Rizal berdepan lapan pertuduhan manakala Intan Wahidah pula berdepan tujuh pertuduhan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dab Anti Penyeludupan Migran 2017 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan.

Mohd Rizal dibenarkan ikat jamin RM35,000 manakala isterinya, Intan Wahidah pula dikenakan ikat jamin RM29,000.

Selain itu, pasangan berkenaan turut didakwa melakukan kesalahan pengantunan dan didakwa mengikut Seksyen 12 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan sebatan.

Kedua tertuduh diwakili peguambela, Aida Rahayu Abd Rahman.

Kedua tertuduh tidak mengaku bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.

Mahkamah menetapkan 1 Mac depan bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen