malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Segera tangani kenaikan OPR, kalau tidak orang akan marah'
Diterbitkan:  Jan 5, 2023 4:29 PM
Dikemaskini: 8:43 AM
ADS

Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) akan memberi kesan kepada peningkatkan perbelanjaan rakyat serta kos sara hidup.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, berkata perkara ini perlu diajukan kepada BNM kerana sektor perbankan dianggar mengutip RM1 bilion setiap bulan daripada kira-kira 10 juta peminjam.

Isham turut mempertahankan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa OPR ditentukan oleh BNM sebagai badan bebas, bukannya kerajaan.

"Bank kutip RM1 billion sebulan dengan jumlah peminjam di Malaysia ada lebih kurang 10 juta orang.

"Purata peminjam kena bayar RM100 ringgit sebulan, (BNM) naikkan OPR (bermakna) naikkan perbelanjaan kita (rakyat) RM100 sebulan.

"Ini akan memberi kesan pada orang ramai, kos sara hidup juga akan meningkat," katanya pada sesi bersama media di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Baru-baru ini CGS-CIMB Securities Sdn Bhd (CGS-CIMB) mengunjurkan dua lagi kenaikan sebanyak 25 mata asas ke atas OPR kepada 3.25 peratus bagi 2023.

Pada 2022, bank pusat telah menaikkan kadar faedah sebanyak empat kali - 100 mata asas (bps) secara terkumpul - membawa OPR kepada 2.75 peratus.

Isham berkata, isu kenaikan kadar OPR perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian.

"Kerajaan kena segera tangani isu ini, kalau tidak orang akan marah," katanya lagi.

Dalam pada itu, Isham mengingatkan individu yang berada dalam kerajaan selaku pembuat dasar perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Katanya kerajaan juga perlu mengotakan segala janji kepada rakyat bagi memastikan kestabilan kerajaan dan ekonomi negara dapat dicapai.

"Saya tak setuju dengan kenyataan beberapa pembuat dasar, kalau harga ayam naik cari (ayam) kedai lain, saya tak setuju. Kita kena lihat dari sudut mikro dulu.

"Kalau ada lima kedai ayam, dua kedai jual harga lebih murah, apakah kedai lain akan turunkan harga, tidak, biasanya kedai yang murah akan naikkan harga," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen