Negara ini mempunyai vaksin Covid-19 yang mencukupi iaitu sekitar enam juta dos tetapi banyak yang terpaksa dilupuskan kerana kurang sambutan daripada rakyat untuk mengambil dos penggalak.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menasihati orang ramai supaya mendapatkan vaksin penggalak Covid-19 memandangkan hanya 49 peratus rakyat sahaja yang telah mendapatkan dos itu.
Anwar berkata dos penggalak tidak mendapat sambutan seperti dos pertama dan kedua.

“Jadi saya usulkan mula dengan wartawan yang belum ambil booster (penggalak) pertama untuk ambil, kerana jangkitan ini ikut unjuran dan kajian Kementerian Kesihatan belum menentu, belum tamat.
“Kalau yang dah ambil dos pertama, dos kedua, booster itu kena ada, kerana vaksin ini masih ada.
“Jadi untuk bulan Januari ini semua wartawan dikehendaki ambil booster kemudian disusuli dengan rakyat lain kerana kalau wartawan beri contoh teladan yang baik, itu akan diikuti oleh rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini..
Malah perdana menteri turut menjelaskan bahawa dia juga telah mendapatkan dos penggalak Covid-19.

“Saya sudah (ambil dos penggalak). Alhamdulillah. Saya boleh tunjuk saya punya MySejahtera,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada dia telah mendapatkan dos penggalak itu.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan hanya 49.8 peratus rakyat Malaysia mendapatkan dos penggalak pertama dan 1.9 peratus sahaja yang mengambil dos kedua.

