malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PAS: Taliban 'langkah mundur' haramkan wanita ke universiti
Diterbitkan:  Dec 27, 2022 9:33 PM
Dikemaskini: 1:36 PM
ADS

Pemuda PAS tampil bersuara membantah keputusan kerajaan Taliban di Afghanistan untuk melarang wanita belajar di universiti.

Ketua pemuda parti itu Ahmad Fadhli Shaari berkata ia "langkah mundur" bagi Afghanistan.

“Pemuda PAS melahirkan kebimbangan kami berhubung dasar terbaru yang dilaksanakan oleh Emiriah Islam Afghanistan, yang melarang sementara pelajar perempuan memasuki universiti.

"Sebelum ini, Taliban telah membenarkan akses wanita ke universiti. Polisi terbaru ini, bagaimanapun, telah terbukti sebagai langkah mundur oleh kerajaan Afghanistan," katanya pada satu kenyataan di media sosial Pemuda PAS pusat.

Pada 20 Dis, kerajaan Taliban mendapat kritikan global kerana menggantung akses untuk pelajar perempuan ke universiti sehingga diberitahu kelak - mendakwa ini kerana mereka tidak mematuhi "kod berpakaian" yang betul.

Taliban juga berkata beberapa mata pelajaran seperti kejuruteraan dan pertanian, tidak sesuai untuk kaum wanita.

Pun begitu, Ahmad Fadhli berkata Islam menjunjung hak pendidikan untuk semua malah Nabi Muhammad SAW pernah bersabda menuntut ilmu menjadi “kewajipan” kepada semua umat Islam.

Dia juga berkata wanita telah memainkan peranan penting bersama lelaki dalam menyebarkan ilmu di dunia Islam.

“Sebenarnya ramai (wanita) yang menjadi pelopor dalam bidang masing-masing, seperti sains, pendidikan dan politik, pada zaman awal tamadun Islam.

“Selain itu, sebahagian hadis Nabi Muhammad diriwayatkan oleh tokoh wanita seperti (isteri-isteri nabi) Aisyah, Hafsah, dan Salamah,” katanya.

Mengenai etika berpakaian, ketua Pemuda PAS berkata satu kewajipan untuk "menjaga" aurat orang Islam namun mengharamkan wanita dari universiti bukanlah kaedah terbaik dan tidak sepatutnya berlaku di dalam negara Islam.

Dia berkata terdapat cara lain untuk mengekalkan keseimbangan antara pemakaian hijab dan menegakkan hak pendidikan.

Ahmad Fadhli yang juga ahli parlimen Pasir Mas menegaskan sebarang perubahan juga perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan tentatif agar tidak mencemarkan imej Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen