Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali menafikan khabar angin bahawa dia akan mengundurkan diri tidak lama lagi.
Menurut Utusan Malaysia, Sulaiman berkata laporan berita mengenai peletakan jawatannya pada 3 Januari ini adalah "tidak betul".
Semalam, China Press yang memetik sumber yang tidak dinamakan melaporkan Sulaiman akan digantikan oleh Adun Tanjung Bidara Ab Rauf Yusoh.
Laporan itu mendakwa ia telah mendapat restu daripada kepimpinan Umno.
China Press juga melaporkan bahawa tiga exco kerajaan negeri di bawah kepimpinan Sulaiman akan diganti, termasuk Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis.

Sulaiman yang merupakan Adun Lendu dilantik sebagai ketua menteri susulan “Langkah Sheraton" pada Mac 2020.
Sejak itu, berulang kali muncul dakwaan bahawa Sulaiman dikawal Rauf yang merupakan pengerusi badan perhubungan Umno Melaka.
Bagaimanapun Rauf menafikan dakwaan tersebut.
Sementara itu, Rauf turut menafikan dakwaan bahawa dia bakal menggantikan Sulaiman tidak lama lagi.
Dia memberitahu Malaysiakini bahawa dia hanya memangku jawatan ketua menteri kerana Sulaiman bercuti sehingga 28 Disember.
Rauf kini merupakan exco yang bertanggungjawab dalam industri, pelaburan, dan pembangunan keusahawanan.

