malaysiakini logo
story-image
ADS

Kumpulan yang mewakili 967 pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menerima gaji harian dan berisiko hilang pekerjaan menjelang tahun baru merayu Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambung kontrak mereka.

Bekas Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata dia menerima maklumat mengenai pegawai berkenaan yang masih tidak pasti akan status pekerjaan mereka.

Katanya, kumpulan itu akan menyerahkan surat secara rasmi kepada Anwar, yang juga menteri kewangan, tidak lama lagi.

“Terdapat kebimbangan mengenai kesan hilang pekerjaan secara tiba-tiba jika tiada pertimbangan segera dibuat untuk melanjutkan kontrak mereka.

"Rayuan kepada perdana menteri ini sangat penting supaya kontrak mereka boleh dilanjutkan," kata Azan kepada Malaysiakini.

Dia berkata hasil cukai yang disasarkan sehingga RM140 bilion tahun ini boleh digunakan untuk membiayai lanjutan kontrak berkenaan, dengan purata gaji sekitar RM2,000 bagi setiap pegawai.

“Ramai di antara mereka sebenarnya menjalankan tugas sebagai kakitangan tetap, tetapi mereka dikekalkan secara kontrak,” kata Ketua cabang PKR Kuala Terengganu itu.

Azan berkata pegawai terbabit meminta pengesahan lanjutan kontrak dan pertimbangan untuk diserap secara kekal dalam perkhidmatan awam pada masa depan..

Malaysiakini difahamkan pegawai di cawangan LHDN di seluruh negara terlibat dalam operasi harian termasuk pengauditan, kutipan cukai dan penguatkuasaan undang-undang.

Antara mereka yang kontraknya perlu diperbaharui termasuk pegawai yang baru berkhidmat selama setahun dan mereka yang bekerja lebih 10 tahun.

Lihat Komen