malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peruntukan kepada semua Adun Perak dibuat atas dasar demokrasi
Diterbitkan:  Dec 23, 2022 12:51 PM
Dikemaskini: 4:51 AM
ADS

Tindakan kerajaan Perak meneruskan peruntukan kepada kesemua 59 Adun dan speaker serta peruntukan sama rata kepada pusat khidmat menunjukkan semangat demokrasi dan amalan politik matang.

Adun Teja dari PKR, Sandrea Ng Shy Ching, berkata dasar itu membuktikan kerajaan Perak menghormati hak rakyat di semua kawasan dan menunjukkan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang demi kesejahteraan negeri dan rakyat.

“Sebelum ini, Adun pembangkang menerima peruntukan apabila menandatangani perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) dengan pihak kerajaan kerana ia menjadi satu daripada syarat untuk kerajaan menyalurkan peruntukan secara sama rata.

“Bagi kerajaan Perak pada hari ini pula, peruntukan tetap diberikan kepada pembangkang meskipun sebenarnya tiada sebarang perjanjian yang mengikat pihak kerajaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh hari ini.

Ng yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak berkata penambahan peruntukan bagi setiap exco pula dilihat dapat membantu mereka melaksanakan tugas dan pembangunan di bawah portfolio masing-masing dengan lebih berkesan dan cekap.

Semalam, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad ketika membentangkan Belanjawan 2023 mengumumkan peruntukan bagi Adun dan speaker pada kadar RM0.3 juta setahun bagi pelaksanaan projek infrastruktur kecil, program dan bekalan, selain RM0.04 juta bagi empat program perayaan utama.

Saarani turut mengumumkan peruntukan Pusat Khidmat Adun diteruskan dengan kadar RM7,000 sebulan, dengan jumlah keseluruhan menghampiri RM5.0 juta setahun bagi kesemua 59 pusat khidmat di negeri itu.

Setiap exco juga akan menerima tambahan peruntukan berjumlah RM0.3 juta iaitu peningkatan RM0.1 juta berbanding 2022 yang tidak terhad kepada kawasan masing-masing.

Sementara itu, Adun Sungai Manik dari Bersatu, Zainol Padzi Paharuddin berkata dia mengalu-alukan pengekalan peruntukan itu memandangkan dia merupakan bekas exco yang bersama-sama Saarani ketika mula membuat keputusan mengenai pembahagian peruntukan sama rata sebelum ini.

“Ia boleh membantu Adun untuk berurusan dengan rakyat yang memerlukan sumbangan kewangan segera, mahupun projek kecil di kawasan masing-masing seperti wang perbelanjaan bagi perjalanan untuk pergi mendapatkan rawatan, ziarah orang sakit atau kematian dan juga kos rawatan yang diperlukan.

“Peruntukan juga boleh digunakan bagi kerja pembaikan kecil di kawasan masing-masing seperti pembaikan atap atau bekalan bahan tertentu,” katanya.

PH dan BN menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri selepas masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi pada PRU ke-15 lalu, manakala PN memperoleh 26 kerusi.

- Bernama

Lihat Komen