malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar tinjau banjir di Kelantan, batal sambutan ambang 2023
Diterbitkan:  Dec 21, 2022 2:42 PM
Dikemaskini: 7:38 AM
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan turun ke Kelantan hari ini untuk meninjau perkembangan banjir di negeri itu.

Menurutnya, satu pengumuman akan dibuat selepas mendapat maklum balas daripada akar umbi dan kerajaan negeri.

Bercakap semasa sidang media pasca kabinet di Putrajaya hari ini, Anwar berkata kerajaan juga sedang mempertimbangkan lebih banyak penglibatan daripada NGO dan kumpulan sukarelawan, serta angkatan tentera untuk menangani banjir.

"Oleh kerana keadaan banjir dan kesusahan rakyat, kerajaan putuskan sambutan besar-besaran ambang tahun baru 31 Dis di Dataran Merdeka dibatalkan," katanya.

Anwar berkata mesyuarat hari ini memberi tumpuan kepada isu banjir di Kelantan dan Terengganu, dan dia sendiri akan turun ke Kelantan bagi meninjau keadaan di sana petang ini.

Menurutnya Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi telah sampai di kedua-dua negeri berkenaan dan memantau serta mengambil beberapa tindakan segera.

Keadaan di kedua-dua negeri itu, katanya, telah dilaporkan Ahmad Zahid kepada kabinet dalam mesyuarat tadi.

"Saya akan ke Kelantan dan pengumuman (berkaitan) banjir akan diumumkan di sana setelah mendengar pandangan di lapangan dan kerajaan negeri,” katanya.

Anwar berkata mesyuarat kabinet juga membincangkan sepintas lalu mengenai perkembangan berhubung usul percaya yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Ahli Parlimen Tambun itu mendapat sokongan majoriti ahli parlimen sebagai perdana menteri ke-10 apabila usul itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan disokong Ahmad Zahid.

"Kita sekarang boleh tumpu soal kerja, menjana pertumbuhan ekonomi dan lebih pesat, kerana mandat yang diberikan itu jelas," katanya yang mengucapkan terima kasih kepada Fadillah yang membentangkan usul yang diterima baik.

"Hampir sebulat suara pada hari berkenaan (dan) walaupun kalau ada pengundian, undi dua pertiga itu memang terjamin.

"Jadi saya ambil kesempatan ucap terima kasih pada semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, dan kebetulan dalam kes ini tidak ada yang bantah dari pihak pembangkang," katanya.

Anwar berkata mandat besar yang diterima itu adalah untuk kerajaan menumpukan perhatian penuh terhadap menjamin tata kelola pemerintahan dan urus tadbir yang lebih berkesan untuk manfaat kebajikan rakyat dan negara.

Musim tengkujuh yang membawa banjir sedang melanda di beberapa negeri di Semenanjung, dengan Kelantan dan Terengganu antara yang paling teruk menerima kesannya.

Setakat 12 tengah hari ini, 72,092 orang kehilangan tempat tinggal akibat banjir dengan 31,316 daripada mereka adalah dari Kelantan dan 40,453 dari Terengganu.

Banjir turut mengorbankan lima orang di dua negeri pantai timur itu.

Dua daripada mangsa yang maut ialah kanak-kanak, seorang bayi lelaki berusia 15 bulan di Kelantan, dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun di Terengganu.

Turut terkorban ialah tiga beradik perempuan di Kelantan, yang terkena renjatan elektrik apabila rumah mereka dinaiki air.

Lihat Komen